Makluman pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor yang dimaklumkan menerusi Facebook.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa agensi itu cuba mencampuri urusan tauliah mengajar agama di negeri-negeri.

Sebaliknya, tauliah mengajar tertakluk bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama Islam negeri masing-masing berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada.

“Jakim mengambil perhatian terhadap isu tauliah mengajar agama Islam yang hangat diperkatakan di media ketika ini.

“Terdapat dakwaan yang mengaitkan isu tauliah ini melibatkan campur tangan pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jakim.

“Jakim dengan ini menafikan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencampuri urusan tauliah mengajar agama Islam di negeri-negeri seperti yang didakwa,” kata Jakim menerusi kenyataannya kepada media, hari ini.

Makluman pembatalan kuliah maghrib oleh Ustaz Azhar Idrus.

Sebelum ini, media melaporkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia berdasarkan hasil semakan pihak jabatan itu.

Beliau berkata, JAIS mengambil maklum mengenai pembatalan kuliah Maghrib UAI yang dijadualkan berlangsung pada Ahad lalu di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Menurut jabatan itu, semua pihak diminta untuk akur serta menghormati sebarang ketetapan yang telah diputuskan pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

Yang terbaharu, Ustaz Wadi Anuar pula terpaksa membatalkan ceramah agamanya di Selangor.

Pembatalan itu bagi ceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang dijadualkan pada 10 Mac dan Padang Astaka Tanjung Karang pada 11 Mac.

Namun jadual ceramah di sekitar Kuala Lumpur akan dijalankan seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette