Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya dalam proses mengambil keterangan daripada suspek yang berusia 27 tahun dan ahli keluarga mangsa.
“Reman berjaya diperolehi untuk suspek selama tujuh hari mulai 6 hingga 12 Mac ini.
“Reman dipohon ke atas suspek di Hospital Tuanku Fauziah Kangar kerana semasa tangkapan dibuat semalam, suspek tidak memberi kerjasama yang baik dan hanya berdiam diri serta tiada sebarang komunikasi.
“Jadi kita hantar dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan nasihat pegawai perubatan jika ada sakit-sakit tertentu. Setakat ini masih belum ada keputusan rawatan ke atas suspek,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lans Koperal tembak mati isteri
Semalam, Yusharifuddin mengesahkan seorang wanita berusia 26 tahun mati ditembak oleh suaminya, seorang anggota plis berpangkat Lans Koperal, yang bekerja di Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.
Katanya, pasukan polis yang menerima laporan daripada abang mangsa menyerbu rumah tersebut sebelum menahan suspek san merampas pistol jenis Walter P99 yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa.
Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa.
Menurut Yusharifuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette