Dr. Kamaruddin M. Said (memegang mikrofon) menyampaikan pandangan dalam Wacana Madani.

BANGI – Institusi politik dilihat paling kurang ‘madani’ berbanding institusi lain di negara ini.

Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara Prof. Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said berkata, institusi berkenaan perlu dimadanikan selaras dengan konsep yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Parti politik kita masih kurang madani sebab tidak ada kesungguhan untuk menghasilkan pemadanian politik.

“Politik sekarang bukan lagi politik ideologi. Era ideologi sudah berlalu di mana-mana, ini termasuk di Amerika Syarikat antara Republikan dan Demokrat. Pengundi sudah tidak nampak perbezaan ideologi (antara parti politik).

“Politik madani mesti dilahirkan. Korupsi dalam politik, penyalahgunaan dana dan sebagainya mesti ditangani,” tegas Kamaruddin.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Madani Siri 1 bertajuk ‘Malaysia Madani dalam Memperkasa Perpaduan Nasional’ anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Wacana tersebut selaras dengan keputusan Menteri Pendidikan Tinggi  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mesyuarat Kabinet yang meminta UKM melaksanakan pelbagai program di bawah Malaysia Madani.

Menurut Kamaruddin, madani dalam politik turut melibatkan janji sesuatu yang rasional kepada rakyat dan bukan semata-mata untuk ‘memancing’ undi masyarakat.

Selain parti politik institusi lain seperti mahkamah, universiti, hospital, bank dan lain-lain juga perlu dimadanikan agar tidak ada penyalahgunaan kuasa berlaku.

“Kalau setiap institusi dalam kehidupan kita memadanikan diri, maka budaya madani yang menyeluruh akan berlaku.

“Bagaimanapun ia tidak boleh lahir sekelip mata. Mengambil masa dan mesti ada pelan strategik,” katanya.

Sementara itu Kamaruddin berkata, konsep madani yang dibawa oleh kerajaan ketika ini telahpun terangkum dalam Perlembagaan negara.

Disebabkan konsep madani yang menerima kepelbagaian kaum, budaya dan agama membolehkan negara bertahan lebih 60 tahun.

“Konsep madani sudah pun tersirat dalam Perlembahaan negara. Semua benda baik yang hendak dilaksanakan itu sudah ada.

“Kesaksamaan, hak kebebasan bersuara, hak bahasa Melayu, hak beragama semua sudah adalam Perlembahaan.

“Jadi saya kata Perlembagaan Persekutuan adalah madani. Jadi kemadanian Perlembagaan itulah kita dapat bertahan selama 65 tahun,” katanya.

Selain Kamaruddin turut menjadi ahli panel adalah Presiden Kolej Dar al-Hikmah Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dan Pegawai Eksekutif Fakulti Ekologi Malaysia Universiti Putra Malaysia Prof. Dr. Zaid Ahmad.

Turut menjadi ahli panel Timbalan Dekan, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Wacana yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar lebih dua jam itu berlangsung di Persada Canselori UKM.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast