Lim Hui Ying
Lim Hui Ying. -foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Proses bagi memulakan pembinaan sebuah sekolah di kawasan yang sudah dikenal pasti memerlukan masa lebih lima hingga 10 tahun kerana perlu melalui beberapa prosedur ditetapkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, tempoh masa yang agak panjang diperlukan kerana kementerian berdepan masalah antaranya membabitkan urusan pemilikan dan penyerahan tanah sebelum projek boleh dimulakan.

Bagaimanapun beliau berkata, kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti semula garis panduan berkaitan supaya tempoh mula projek pembinaan sekolah dapat disingkatkan.

“Dari segi pembinaan sekolah ambil lebih lima sehingga lebih 10 tahun. Saya akan memastikan kita mengkaji semula proses pembinaan sekolah baharu.

“Kita akan mengkaji semula (garis panduan) untuk kita nak kurangkan, singkatkan masa pembinaan.

“Sebab satu masalah kita hadapi adalah mesti memastikan penyerahan tanah kerana tanah itu adalah di bawah PBT. Pemilikan tanah itu satu usul yang utama sebelum pembinaan sesebuah sekolah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mencadangkan agar KPM meneliti semula garis panduan pembinaan sekolah supaya ia tidak memerlukan masa lama untuk disiapkan.

Katanya, ia berikutan kebanyakan individu membeli rumah mengambil kira keperluan asas seperti kewujudan institusi pendidikan seperti sekolah.

Menjawab soalan asal mengenai usaha mengemas kini dan menambah baik garis panduan membina sekolah baharu, Hui Ying berkata, KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Kemudian katanya, KPM melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia daripada PLANMalaysia, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2022.

Selain itu beliau berkata, perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan terbabit berdasarkan perbincangan bersama PBT. – MalaysiaGazette