PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan pemulangan aset dalam 1MDB berjumlah RM8.06 bilion (AS$1.8 bilion) kepada kerajaan Malaysia sebagai satu kejayaan besar negara.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya komited untuk mengembalikan semula wang negara sebanyak yang mungkin dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

“Jumlah keseluruhan sehingga sekarang, sebanyak RM28.93 bilion atau lebih 70 peratus daripada aset telah dapat dikembalikan dalam kes 1MDB ini.

“Kami menjalankan siasatan, mengemukakan fakta dan mengeluar waran tangkapan untuk menuduh mana-mana pihak terlibat dalam kes 1MDB ini.

“Ini merupakan satu kejayaan negara di mana kami salah satu agensi yang terlibat dalam badan bertindak yang ditubuhkan selain MOF, AGC dan juga NFCC.

“Kita akan usahakan sebaik mungkin untuk mengembalikan duit yang telah dicuri ini kepada negara,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju membayar RM8.06 bilion (AS$1.8 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

Bayaran itu akan dibuat melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali gus menamatkan pertikaian kedua-dua pihak di mahkamah berhubung skandal 1MDB.

Sebelum ini, Malaysia dan UAE terbabit dalam pertikaian undang-undang di Mahkamah Tinggi London dengan dakwaan IPIC dan Aabar bersubahat dengan penipuan 1MDB.

Ditanya tentang jumlah baki aset yang belum diperolehi, beliau berkata sebanyak 30 peratus dari RM42 bilion yang hilang masih dikesan dan belum berjaya dituntut setakat ini.

“Duit yang hilang sebenarnya RM42 bilion, jadi kalau kita tengok, dapat pemulangan hampir RM29 bilion sekarang.

“Jadi 30 peratus adalah baki yang kita cuba pulihkan seberapa banyak mungkin.

“Pengesanan aset ini masih lagi diteruskan dan tidak akan dihentikan

“Ada beberapa tempat di negara luar di mana usaha SPRM untuk mengesan aset-aset ini, di sinilah kepakaran dan kerjasama daripada agensi-agensi lain diperlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette