Hamzah serangan Anwar
Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan berhenti ‘mengigau’ untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, impian Abdul Hadi tidak akan tercapai kerana wujudnya Akta Anti Lompat Parti.

“Tumbangkah kerajaan perpaduan? Dengan adanya Akta Anti Lompat Parti, sukar untuk Pas melakukan hal ini, apatah lagi kerajaan perpaduan telahpun mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Jika begitu senarionya, berhentilah mengigau untuk menjatuhkan kerajaan ini.

“Tumpulah kepada menyokong usaha kerajaan untuk mengangkat Malaysia Madani bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu, negara yang lebih maju dan hebat semula. Kita mahu cepat bergerak ke depan supaya kita can progress as a nation,” kata Mohammad Agus.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Mohammad Agus berkata, sekiranya kenyataan itu dikeluarkan oleh Anwar ketika Perikatan Nasional (PN) berkuasa sudah tentu pengikut parti Pas mengeluarkan cacian terhadap Presiden PKR itu.

“Bayangkan jika yang kata macam ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa PN berkuasa?

“Tentunya yang akan tersembur dari mulut pendokong PAS adalah Datuk Seri Anwar tidak menjunjung titah agong, derhaka kepada institusi raja, pengkhianat mandat rakyat, bersekongkol dengan DAP hendak menghapuskan institusi raja-raja.

“Dan pelbagai macam dalil lagi bagi mengukuhkan hentaman mereka,” katanya.

Mohammad Agus turut membantah kenyataan Abdul Hadi bahawa ‘tukar kerajaan perkara biasa dalam politik’.

Menurut beliau, dalam sistem demokrasi penukaran kerajaan hanya boleh dilakukan melalui pilihan raya.

Sementara itu Mohammad Agus menegaskan, kerajaan yang ada sekarang adalah yang terbaik untuk negara kerana tidak menimbulkan sebarang kontroversi dan berjaya membawa pelaburan masuk ke Malaysia.

“PMX kita selang beberapa hari mengangkat sumpah jawatan mengadakan usul percaya di Parlimen, membina hubungan luar negara yang baik, dan membawa masuk banyak syarikat gergasi seperti Intel Amazon untuk melabur.

“Jika ubah kerajaan, dibimbangi semua pelabur akan tarik keluar pelaburan mereka.

“Kerajaan ini terbaik kerana tidak ada kontroversi ICERD dan Statute Rome, pemimpinnya tidak terlibat rasuah, tata kelola kerajaannya baik, dan memberi keutamaan kepada membantu rakyat miskin,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan Abdul Hadi dan penyokong Pas supaya berhenti daripada terus berpolitik.

Mereka digesa untuk menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menunggu sehingga pilihan raya umum ke-16.

“Rakyat sedang susah sekarang, mangsa banjir perlukan bantuan, peniaga, usahawan dan kontraktor sedang menghadapi suasana penuh cabaran. Hentikan hal-hal yang tidak ada faedah.

“Biarlah kerajaan perpaduan ini kekal untuk menjalankan tugas mereka tanpa diganggu gugat bagi memulihkan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette