PULAU PINANG – Jualan kit ujian kendiri Covid-19 telah menurun sebanyak 80 peratus kerana orang ramai sudah biasa dengan cara kehidupan pasca pandemik.
Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Andrew Tan Eng Joo berkata, selain kilang besar, syarikat besar dan premis khas yang menetapkan warganya untuk melakukan ujian kendiri secara kadangkala, kebanyakan orang sudah tidak berbuat demikian.
Beliau berkata, di klinik pula, doktor juga mungkin melakukan ujian jika terdapat pesakit yang mengalami tanda-tanda selesema.
Katanya, selain kit ujian, jualan pelitup muka juga telah menurun kerana semakin banyak orang yang memilih tidak memakainya semasa berada di luar.
“Bagaimanapun, jualan pelitup muka masih lebih baik daripada kit ujian kerana masih ada pelajar yang menggunakannya semasa ke sekolah atau orang ramai yang mengunjungi hospital,” katanya kepada China Press.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Gina Koay Wan Lee berkata, walaupun terdapat pengeluar yang mengurangkan harga pelitup muka, tetapi keadaan kerugian atau lelong tidak berlaku.
“Orang ramai masih mempunyai kesedaran untuk memakai pelitup muka. Walaupun jualan untuk jenama tertentu menjadi perlahan, tetapi masih ada orang yang beli,” katanya.
Tambahnya, jualan untuk kit ujian kendiri pula telah turun sekurang-kurangnya 50 peratus.
“Dahulu, 200 kotak boleh habis dalam sebulan, tetapi kini memerlukan dua hingga tiga bulan untuk menghabiskan stok,” katanya. – MalaysiaGazette