Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Kalangan peserta pasaran perlu bersedia untuk memanfaatkan keadaan harga yang tidak menentu susulan persekitaran operasi dan pasaran yang mencabar, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Kemungkinan itu wajar memandangkan jangkaan cabaran makroekonomi global akan berterusan pada tahun ini.

Malah, katanya, apabila berlaku ketidaktentuan pasaran, kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan pengguna komoditi berkemungkinan boleh menjadikan aspek dagangan derivatif bursa sebagai mekanisme pengurangan risiko berkesan dalam mengekalkan nilai portfolio mereka.

“Sejajar dengan kedudukan sebagai hab global bagi harga minyak sawit, Bursa Malaysia Derivatives kekal kukuh dalam membangunkan pasaran mampan dengan menambahbaik ekosistem dan meningkatkan produk-produk kami sebagai instrumen lindung nilai boleh dipercayai terhadap ketidaktentuan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2023 (POC2023) di sini, hari ini.

Acara dua hari yang berakhir esok, dianjurkan oleh Bursa Malaysia.

Abdul Wahid turut memetik contoh pelancaran Prosedur Serahan Alternatif (ADP) oleh Bursa Malaysia pada September 2022 membabitkan empat kontrak utama iaitu kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO); kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah Malaysia Timur (FEPO) dan kontrak niaga hadapan isirung sawit mentah (FPKO).

“Kemudahan ADP itu membolehkan penjual dan pembeli menawarkan dan mengambil kontrak serahan mengikut terma ditetapkan selain dinyatakan oleh bursa atau merundingkan semula terma serahan lebih sesuai dengan operasi perniagaan fizikal mereka,” katanya.

Mengulas prospek industri, beliau menyifatkan industri minyak sawit Malaysia kekal pada kedudukan kukuh dan menunjukkan pertumbuhan mantap walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan serta kebimbangan berlakunya kemelesetan pada 2023.

Abdul Wahid berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat sebanyak tiga peratus kepada 19.0 juta tan pada 2023 — naik daripada 18.45 juta tan dicatatkan pada 2022 susulan pengembangan kawasan tanaman yang matang, terutama di Sarawak serta Semenanjung Malaysia berikutan keadaan cuaca dan keadaan tenaga kerja yang lebih baik.

“Berikutan dengan unjuran itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia akan menokok sebanyak 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 iaitu meningkat daripada 15.72 juta tan pada 2022 berikutan permintaan berterusan daripada negara pengimport,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Produk Pertanian Kumpulan CME Nelson Low berkata keadaan terbukti menjadi lebih penting untuk kalangan pengeluar, pemproses dan pengguna akhir menguruskan risiko harga berpandukan niaga hadapan dan opsyen di tengah-tengah ketidakpastian berkaitan minyak sawit akibat perubahan dasar serta pergerakan harga minyak lain berkaitan yang terus bersaing mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.

“Pada pertengahan Januari lepas, kita menyaksikan niaga hadapan minyak sawit Malaysia susut daripada paras tertinggi dalam tempoh sebulan apabila peniaga mengambil untung dan ketika kerugian dialami minyak makan saingan akibat peningkatan bekalan Amerika Syarikat (AS) yang melebihi jangkaan dan meningkatkan lagi tekanan,” katanya.

Pada Disember lepas, Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan undang-undang baharu yang mewajibkan syarikat-syarikat memastikan komoditi dijual di EU bukan dari sumber tanah hutan.

“Keputusan itu telah menimbulkan reaksi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) diketuai oleh Malaysia dan Indonesia yang mempertimbang untuk menghentikan eksport minyak sawit ke Eropah (susulan diskriminasi EU),” katanya.- BERNAMA