KUALA LUMPUR – Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat usaha kerajaan menangani kos sara hidup rakyat secara holistik dan jangan hanya bermain sentimen atau memberi kenyataan yang tidak betul.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian itu bekerja dari jam setiap hari untuk mendepani isu yang membebani rakyat di negara ini.
“Takkan Ahli Parlimen Pagoh yang ada pengalaman sebagai perdana menteri sebelum ini tidak faham macam mana jentera kerajaan dan kementerian bekerja. Janganlah mungkin kerana dendam,” katanya ketika ditemu di sini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mempersoalkan di Dewan Rakyat sejauh mana Kerajaan Perpaduan dalam mencari jalan penyelesaian berhubung kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
Muhyiddin mendakwa, Bajet 2023 yang dibentangkan tidak komprehensif dan menyeluruh dalam menangani isu kenaikan kos harga barang yang semakin meningkat setiap hari, malah kerajaan campuran juga dilihat tidak serius dalam membantu rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional itu juga menyindir kerajaan yang didakwa jarang mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara dan difahamkan kali terakhir ia diadakan adalah pada Disember tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Salahuddin berkata, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sudah dua kali mengadakan mesyuarat bersama Kabinet sejak Disember tahun lalu.
NACCOL dianggotai 11 kementerian bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
“Di peringkat saya, lebih dua atau tiga kali kita telah mengadakan mesyuarat itu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, saya kira di peringkat menteri (tiga kali) dan peringkat pegawai (dua kali).
“Kita juga dalam usaha mengadakan perbincangan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di peringkat menteri dan pegawai dan juga komuniti tidak lama lagi.
“Ia bagi membincangkan berkaitan program bulan ramadan untuk Bazar Ramadan Rahmah yang akan turut melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ia termasuklah inisiatif Payung Rahmah, saya telah cuba menyantuni dan membuat sentuhan terhadap isu ini.
“Jadi saya harap Pagoh (Muhyiddin) dapat melihat usaha kerajaan ini secara holistik dan jangan hanya sentimen atau memberi kenyataan yang tidak betul,” katanya.
Salahuddin yang juga selaku urus setia NACCOL berkata, kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa baharu bagi menangani isu ketirisan diesel yang dilihat semakin serius
Tegas beliau, tindakan itu sekali gus menunjukkan kerajaan tuntas berhubung isu kos sara hidup rakyat menerusi pertemuan mesyuarat NACCOL yang diadakan selama ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, falsafah kementeriannya ialah ‘kita tidak boleh biarkan rakyat berlapar’. – MalaysiaGazette