KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan supaya pasar raya tempatan dan multinasional seperti Lotus dan Aeon Big menjual barang mampu milik.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia dilihat sebagai langkah jangka panjang yang wajar diambil untuk menangani kos sara hidup rakyat.
“Saya sudah mula berfikir sekiranya syarikat-syarikat hypermarket yang bukan hanya dalam negeri tetapi multinasional seperti Lotus dan Aeon Big ini, kenapa tidak kita cuba untuk wujudkan supermarket untuk mampu milik?
“Saya pernah melawat United Kingdom (UK) dan United States (US) ada hypermarket yang menjual barang mampu milik kerana barang-barang yang mahal adalah jenama tapi kualiti tetap sama, keuntungannya juga agak menggiurkan untuk turut serta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikianbagi menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah (Pakatan Harapan) berkenaan Jualan Rahmah dalam negara.
Ujar Salahuddin, negara mempunyai ramai jutawan yang mampu menyumbang dan bekerjasama dengan pasar raya untuk melaksanakan cadangannya itu.
Kata beliau, pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak sebelum memuktamadkan cadangan berkenaan.
Terdahulu Salahuddin berkata, Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Januari lalu diperluaskan ke seluruh negara dengan penglibatan dan kerjasama daripada pemain-pemain industri peruncitan seperti pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan sebagainya.
Program jualan tersebut akan dilaksanakan dengan menggunakan konsep yang hampir sama dengan program-program jualan murah yang pernah dilaksanakan oleh KPDN sebelum ini di mana penerima manfaat daripada program itu adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, ia akan dilaksanakan di premis-premis perniagaan peruncitan terpilih, di kawasan yang menjadi tumpuan atau berhampiran penduduk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan program-program jualan murah yang telah dilaksanakan oleh KPDN sebelum ini, sambutan yang diberikan oleh pemain-pemain industri peruncitan ini amat menggalakkan.
“Mereka bukan sahaja berminat untuk menyertai jualan murah ini, malah turut menyumbang dalam membantu mengurangkan harga barangan keperluan harian.
“Selain itu, secara tidak langsung, bilangan pengunjung juga akan turut bertambah ke premis-premis perniagaan yang terlibat,” tambah beliau.-MalaysiaGazette