Longgokan buku sekolah yang rosak selepas kawasan perumahan Kampung Jawa Baru, di Chaah dekat Segamat dilanda banjir. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2023.

SEGAMAT – Mangsa banjir di daerah ini, khususnya Kampung Jawa Baru, Chaah yang paling teruk terjejas terus merayu kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menyegerakan pembersihan sisa sampah di kawasan berkenaan.

Rata-rata mereka berkata, banjir besar kali ini membawa kemusnahan yang dahsyat sehingga kawasan rumah ibarat dilanda tsunami dengan pelbagai sisa sampah bertaburan di kampung berkenaan.

Ainul Azliany Ismail, 37, berkata, banjir yang melanda 1 Mac lalu adalah kali pertama rumahnya di kampung berkenaan dinaiki air sehingga paras bumbung sejak menyewa di situ sembilan tahun lalu.

“Sebaik banjir mulai surut semalam, kawasan halaman deretan rumah kampung 12 pintu ini dipenuhi pelbagai sisa barangan rosak akibat banjir seperti perabot, sisa hutan, tilam dan macam-macam lagi.

“Kalau hendak harapkan kami membersihkan sampah ini yang entah dari mana datangnya, tak tahulah bila boleh siap sebab itu kami merayu pihak berkaitan atau NGO turun padang membantu kami,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Rosleyzan Mohd Rahim bercakap ketika ditemubual mengenai rumahnya ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jawa Baru, Chaah, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2023.

Rayuan sama diharapkan Mohd Rosleyzan Mohd Rahim, 37, yang mendakwa setakat ini dia tidak nampak mana-mana pihak tampil membantu melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

“Jadi kami seramai 12 pintu rumah kampung yang menyewa di sini amat berharap kawasan ini tidak dianaktirikan tambahan pula adalah kawasan paling teruk terjejas akibat banjir kali ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di kampung berkenaan mendapati, penduduk sedang sibuk membersihkan kawasan rumah selepas banjir mulai surut semalam.

Setakat pukul 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga yang ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Banjir di Segamat beransur pulih dan kini tinggal 4,036 mangsa banjir daripada 991 keluarga di 45 PPS. – MalaysiaGazette.