Yahaya Othman menunjukkan rampasan dadah berjumlah RM10.8 juta didalangi ahli perniagaan bergelar datuk tempatan yang ditumpaskan pada 3 Mac lalu dalam serbuan di KL, Selangor dan Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Seramai lapan orang suspek, termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk, yang disyaki ahli sindiket penyeludupan dan dadah pengedaran dadah ditahan polis dalam lima serbuan bersingan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, ahli sindiket itu menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai untuk membawa bekalan dadah ke dalam negara dari utara untuk diedarkan di Lembah Klang dan negara jiran.

“Dalam operasi ini, pihak polis telah berjaya merampas 300 kilogram dadah jenis syabu dan dua kilogram pil ekstasi kesemuanya bernilai RM10.8 juta yang disembunyikan dalam kereta di parkir sebuah pasar raya di ibu negara yang menjadi tempat pertemuan untuk tujuan pemindahan dan pengedaran dadah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan sama polis juga merampas tujuh buah kenderaan, termasuk Toyota Alphard, berjumlah RM456,000, barang kemas bernilai RM17,566 dan wang tunai sebanyak RM8,400.

Jelas beliau, ia merupakan rampasan dadah terbesar untuk kontinjen Kuala Lumpur pada tahun ini.

Menurut Yahaya, salah seorang tangkapan merupakan wanita yang dipercayai kekasih ahli perniagaan itu dan kesemua berusia antara  27 hingga 61 tahun.

Katanya, hasil ujian saringan mendapati enam suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod kesalahan lampau mendapati enam orang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dadah.

Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Mac ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Yahaya berkata, pihaknya sedang menjejaki saki baki ahli sindiket yang masih bebas. – MalaysiaGazette