Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perjanjian Lintas Batas (CBA) antara Malaysia dan Indonesia menjelang pembukaan ibu negara baharu republik itu di Kalimantan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, kedua-dua pihak dalam proses menyemak beberapa perkara utama khususnya berkaitan ancaman keselamatan.

“Pertama, mesti libatkan kerjasama dua negara. Dalam hal ini di antara Malaysia dan Indonesia. Sekarang kita dalam fasa pembikinan memuktamadkan perjanjian CBA.

“Dari segi milestone, ia dijangka akan ditandatangani apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat Malaysia tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang bertanya apakah langkah proaktif untuk meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan kawasan sekitarnya terutama membabitkan aset penting negara berkaitan Malaysia-Indonesia.

Jelas Saifuddin, usaha memuktamadkan CBA penting dalam memastikan keselamatan antara kedua-dua negara termasuk mengekang kegiatan penyeludupan manusia, dadah, serta ancaman lain.

Menjawab pertanyaan apakah CBA satu perjanjian baharu, beliau berkata, ia adalah kaedah standard antarabangsa bagi negara-negara yang bersempadan sebagai memelihara kepentingan bersama serta jaminan keselamatan.

“Itu mekanisme yang wajib dilalui sebab kepentingan menjaga keselamatan satu sama lain dan jika berlaku krisis di negara jiran, (seperti) kita tengok berlaku di Myanmar menjadi ‘push factor’ kepada penduduknya datang ke negara kira.

“Dalam menjaga keselamatan sempadan, ia pasti melibatkan perbincangan negara jiran dan proses merangka perjanjian akan ada jawatankuasa bersama dan itu proses yang mengikut standard antarabangsa (bagi negara) yang berjiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette