Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2023.

KUALA UMPUR – Perdana Menteri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu sebagai permulaan bagi membolehkan penyelidikan dilakukan dalam memperkasakan golongan wanita di negara ini.

“Saya mahu tengok berapa jauh dan berapa baik penyelidikan yang dibuat, terdapat bidang baru untuk penyelidikkan dan hakikatnya ia adalah untuk wanita, ibu dan anak-anak mereka. Saya rasa rutin,  amalan atau program umum dalam sistem birokrat ini mungkin tidak dapat melaksanakan tugas khas itu.

“Atas sebab inilah kementerian ini mencadangkan bahawa kita tidak semestinya mempunyai bahagian yang berbeza tetapi beberapa pegawai penyelidik yang bekerja di pusat akademik dan universiti dalam negara atau organisasi antarabangsa untuk menghasilkan beberapa rancangan atau penyelidikan yang memberi kesan kepada wanita.

“Oleh itu, saya telah meluluskan geran segera RM500,000 dan supaya mereka dapat meneruskan dan kerajaan boleh menambah kemudian jika mendapati penyelidikan itu nampak berguna,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Pembanggunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (empat kiri) bergambar dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Tabung KASIH Rahmah Wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan meluluskan peruntukkan sebanyak RM1 juta.

Katanya, ia bagi membantu golongan wanita yang berada dalam keadaan terdesak termasuk mangsa keganasan rumah tangga dan wanita yang diabaikan oleh ahli keluarga sebelum dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat.

Anwar berkata, beliau mahu Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memberi ruang kepada wanita dalam mewujudkan peluang kerjaya dan kenaikan pangkat selepas ini.

“Saya mahu semua GLC, GLIC ambil perhatian. Semua pelantikan baharu dalam GLC, GLIC, peluang-peluang kenaikan pangkat. Saya mahu suatu perubahan, sudah tentu pilih yang kelayakan tapi mesti ada kemajuan nyata supaya kita tingkatkan peranan wanita.

“Di sektor swasta saya ingin tekankan ahli lembaga pengarah yang dilapor oleh Suruhanjaha Sekuriti Malaysia hanya 29 peratus sehingga 31 Disember 2022, di sektor awam wanita pembuat keputusan melalui pengisian Gred C dan ke atas adalah 38.8 peratus.

“Sektor politik dalam pilihan raya umum lalu menunjukkan peratus perwakilan wanita di Dewan Rakyat menurun 14.9 peratus pada tahun 2021, 13.5 peratus pada tahun 2022, maknanya saya kena fikir tambah Senator dalam kalangan wanita juga,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata peranan wanita di Malaysia boleh dibanggakan namun belum mencukupi dan ada ruang untuk diperbaiki.

“Pengiktirafan tidak cukup…masih ada gangguan seksual. Masih ada, bukan diskriminasi tapi kurang pengiktirafan sehingga sebahagian wanita mengeluh. Kecekalan, kegigihan mereka tidak diiktiraf sama dengan lelaki. Kita harus sentiasa meneroka pemikiran baharu.

“Kita perlu juga meneroka idea baharu kerana kalau kita lihat dari segi sejarah dalam Islam, pengiktirafan wanita itu sangat penting,” ujarnya. – MalaysiaGazette.