Pegawai penyiasat kes, Inspektor Amirul Amir menunjukkan pil yaba serta syabu yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Timur Laut, hari ini.

GEORGE TOWN – Enam sekeluarga termasuk seorang wanita Indonesia ditahan polis selepas ketua keluarga mereka didapati terlibat dalam pengedaran dadah di Pulau Pinang.

Kegiatan lelaki berusia 57 tahun itu terbongkar selepas polis menahannya di tepi jalan sekitar Perai yang mana ketika itu suspek dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Jelutong pada jam 6 petang, 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berpandukan maklumat suspek, polis kemudian menyerbu rumahnya di Jelutong, di sini, pada jam 10.40 malam hari yang sama sebelum menahan lima lagi ahli keluarga.

Soffian.

Kata beliau, mereka yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 63 tahun yang terdiri daripada isteri suspek warga Indonesia, dua anak suspek, anak angkat serta abang ipar.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan ketulan dadah dan serbuk kristal disyaki syabu serta sejumlah pil yaba yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM128,912.

“Hasil siasatan mendapati suspek menjadikan rumah kampung yang didiami mereka sekeluarga sebagai tempat membungkus dan menyimpan dadah sejak Jun tahun lalu.

Syabu yang dirampas dalam rumah suspek.

“Malah, seorang daripada ahli keluarga suspek tahu mengenai kegiatan yang dijalankan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, hari ini.

Tambah Soffian, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah selain ujian air kencingnya positif.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM188, 812 dan kesemua suspek direman sehingga 10 Mac ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau. – MalaysiaGazette