Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentang bulan lalu akan tetap dilaksanakan biarpun 2023 sudah memasuki bulan Mac.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis dengan usaha kerajaan hari ini, semua yang dibentang akan dapat dilakukan seperti yang dirancang.

“Saya nak maklumkan perkara penting termasuk kepada Ahli Parlimen pembangkang yang mana kerajaan sudah meluluskan belanjawan sementara pada 19 Disember 2022 di Dewan Rakyat dan 20 Disember 2022 di Dewan Negara.

“Lulus untuk tempoh enam bulan belanjawan.

“Jadi, kalau ada yang kata kerajaan sudah tertinggal empat bulan, itu silap,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk, ‘Belanjawan 2023, Boleh Buat Atau…’ Ahmad berkata, separuh daripada belanjawan itu sudah pun dilaksanakan.

“Bermula Januari 2023 segala proses yang patut dibuat, sudah dilakukan.

“Sebenarnya, kita dah bagi pun, sebahagian daripada belanjawan itu iaitu untuk anak-anak sekolah iaitu RM150 untuk perbelanjaan barangan persekolahan tak kiralah B40, M40 atau T20 pun dapat juga,” katanya dengan jumlah keseluruhan RM800 juta.

Jelasnya, pada ketika ini, 26 menteri sedang menjawab di Parlimen di mana separuh daripadanya hari ini (semalam) dan separuh lagi esok (hari ini).

Ia akan disusuli Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan hadir pada jam 7.45 malam bagi sesi penggulungan.

“Kemungkinan yang berlaku selepas itu, pembangkang akan berdiri menyokong atau akan berlaku undi belah bagi, itu perkara biasa.

“Pada hari Isnin depan pula, saya akan menjawab di peringkat jawatankuasa yang mana ia akan lebih terperinci mengenai setiap perkara dalam Kementerian Kewangan dan diikuti rakan-rakan daripada kementerian yang lain.

“Di peringkat jawatankuasa ini pun kadang-kadang akan ada pengundian andai ada banyak perkara ditimbulkan.

“Selesai itu nanti, akan dibentang pula di Dewan Negara.

“Begitulah perjalanan Belanjawan 2023,” katanya.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kerisauan beberapa pihak mengenai Belanjawan 2023 yang dianggap tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya dan hanya bersifat pembentangan sahaja.

“Belanjawan tetap akan dilakukan untuk tempoh satu tahun, bukannya lapan bulan sahaja seperti yang didakwa.

Pada 24 Februari lalu, Anwar telah membentangkan Belanjawan dengan memperuntukkan RM388.1 bilion di mana RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast