Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penggulungan belanjawan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas dengan prinsip simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk kegunaan selepas bersara.

Bagaimanapun kerajaan memberi kelonggaran kepada pencarum yang terdesak dengan keadaan ekonomi untuk menggunakan simpanan KWSP sebagai cagaran untuk membuat pinjaman dengan bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

“Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman Covid-19 malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

“Tetapi saya masih mendengar pandangan, oleh itu, saya cadangkan untuk memperkenalkan satu kaedah bagi permudahkan untuk orang terdesak supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang untuk membuat pinjaman bank dengan cagaran daripada agensi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, kerajaan berpandangan kaedah itu adalah terbaik dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Menurut Perdana Menteri, hanya pencarum yang mempunyai simpanan yang mencukupi boleh menggunakan wang KWSP tersebut sebagai cagaran kepada pihak bank.

“Saya cadangkan yang mempunyai peluang, ada seorang yang merayu kepada KWSP dia mempunyai RM1 juta (dalam KWSP) tetapi terikat kat situ.

“Dia terpaksa bayar untuk hutang perniagaannya sekitar RM180,000 hingga RM200,000, itu spesifik kes.

“Oleh itu saya kata, tak pelah kita buat koleteral, dia tidak withdraw (keluarkan) daripada KWSP tetapi dalam masa sama KWSP buat koleteral itu sebagai cagaran,” katanya. MalaysiaGazette