kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Budaya politik di Malaysia sudah terlalu tercemar dengan pelbagai masalah moral, integriti, rasuah, salah guna kuasa dan nepotisme.

Presiden Pemerhatin Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, siasatan dan pendakwaan berkaitan tuduhan rasuah terhadap pemimpin parti politik perlu diberi perhatian serius.

Ia perlu dijadikan pengajaran oleh pemimpin-pemimpin politik lain.

Menurut beliau, penggiat politik dan rakyat harus bersedia untuk melakukan pemutihan budaya politik ke arah politik sihat yang bermoral, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab terhadap amanah tugasan.

“Isu penyiasatan dan pendakwaan ‘terpilih’ tidak timbul jika kita benar-benar bersih dan tidak terbabit dengan gejala rasuah atau salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 esok.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jais menambah, mahkamah membuat keputusan setelah mendengar hujah-hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dengan bukti-bukti yang dikumpulkan oleh SPRM.

Beliau menegaskan, perbuatan rasuah tetap salah dan semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah jika seseorang itu terbukti bersalah dan harus dijatuhkan hukuman.

Jais memberitahu, jenayah rasuah dan perbuatan salah guna kuasa sering berlaku dalam kalangan ahli politik dan tidak mengenal parti.

“Sesiapa sahaja yang disiasat dan dituduh pasti ada sebab dan alasan kukuh kerana SPRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh, terperinci dan profesional.

“Pujian harus diberikan kepada SPRM kerana menjalankan amanah dan tugas dengan berani tanpa ‘memilih bulu’ sama ada individu tersebut mempunyai pangkat atau kedudukan tinggi dalam parti tertentu ataupun masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette