Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan, tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka didakwa menerima wang berjumlah RM1,400 tanpa balasan daripada seorang pengurus syarikat sebagai dorongan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori syarikat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000.

Beliau turut meminta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah membayar jaminan sebanyak RM12,000 terhadap lapan pertuduhan lain bulan lalu.

Selain itu, katanya tertuduh juga telah digantung kerja dan perlu menyara isteri serta tiga anak yang masih kecil.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 10 April ini. – MalaysiaGazette.