KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU) menangguhkan mesyuarat dan pemilihan bagi semua jawatan dalam UMNO Bahagian Tanah Merah di Kelantan berkuatkuasa serta merta.
Tanpa mengemukakan alasan atas penangguhan berkenaan, JPU mengeluarkan arahan itu selepas Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia yang bersidang Selasa lalu meneliti surat dari UMNO Bahagian Tanah Merah.
Serentak itu, semua calon yang mendaftar bertanding jawatan Ketua, Timbalan dan Naib Bahagian, Ketua dan Naib peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian dengan sendirinya terbatal.
Surat pemakluman yang ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Akbar Salim itu dihantar ke ibupejabat UMNO Bahagian Tanah Merah, semalam.
Menurut surat itu, keputusan menangguhkan mesyuarat berkenaan dibuat selepas JPU mengambil kira apa yang berlaku dalam UMNO Bahagian Tanah Merah.
“Dengan mengambil kira apa yang berlaku di Tanah Merah, maka Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 telah memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian ini beserta sayap-sayapnya sehingga dimaklumkan kelak.
“Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah dan sayap-sayapnya adalah dikecualikan dari mengambil bahagian dalam Pemilihan UMNO 2023 di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri,” menurut surat itu.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah akan diadakan semula di bawah pemantauan dan kendalian Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tarikh yang akan diberitahu kelak dan perwakilan bahagian di semua peringkat iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hanya memilih peringkat Ahli Jawatankuasa Bahagian sahaja.
UMNO Bahagian Tanah Merah mula bergolak pada persidangan perwakilan bahagian November 2008, kerana dikatakan wujud ‘ahli hantu’ di peringkat cawangan.
Dikatakan juga, ada pihak menyerahkan satu permohonan mahkamah menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian berkenaan kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat disebabkan gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.
Keputusan menangguhkan mesyuarat bahagian itu dibuat setelah merujuk kepada Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette