Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan keluar selepas hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2023.

KUALA LUMPUR — “Patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara”.

Demikian nasihat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada seluruh penyokongnya.

Katanya, beliau tidak akan mengajak penyokong turun ke jalanan untuk menunjukkan solidariti terhadapnya yang menghadapi empat pertuduhan menerima suapan dan dua pendakwaan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen, hari ini.

“Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.

“Saya tidak akan mengajak saudara-saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Bertenanglah, dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, negara sedang berdepan kegawatan ekonomi pasca pandemik Covid-19, justeru beliau tidak mahu membebankan rakyat yang sedang mengalami kesusahan.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Bersatu dan penyokong PN yang menyokong beliau.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2023.

Awal pagi tadi media melaporkan polis menjalankan siasatan mengenai himpunan solidariti terhadap Muhyiddin yang diadakan semalam, di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan telah dibuat oleh pegawai medan bertugas di lokasi himpunan solidariti terbabit.

Memetik laporan Sinar Harian, katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengulas mengenai himpunan solidariti itu, kata beliau, seramai lima pegawai dan 39 anggota ditugaskan membabitkan semua elemen. -MalaysiaGazette