KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Subang mendesak pihak polis menyiasat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Perpaduan bakal tumbang tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan itu boleh mengancam kestabilan politik, sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi ketika negara dalam proses pemulihan.

“Kita memerlukan kestabilan politik, kita tak mahu perpecahan, kerana hari ini Kerajaan Perpaduan ini lahir disebabkan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya minta pihak polis agar melakukan siasatan sama ada betul atau tidak ada gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap Presiden Pas itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Pada 6 Mac lalu, Abdul Hadi mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk ‘menjatuhkan’ Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi berkata, mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan.

Dalam pada itu, Arman khuatir jika kenyataan-kenyataan itu dibiarkan, kelak boleh menjejaskan ekonomi negara susulan ketidakstabilan negara cuba dicabuli pembangkang.

“Apabila ada gerakan-gerakan seperti ini tidak sihat buat negara, terutamanya ketika negara nak mencari pelabur asing untuk menstabilkan ekonomi.

“Macam mana pelabur asing nak datang ke negara kita kalau ada gerakan macam ini,” katanya.

Arman yang juga Ahli Dewan Negara mengingatkan Abdul Hadi agar tidak mengeluarkan kenyataan secara membuta-tuli tanpa mengambil kira keadaan semasa.

“Dalam keadaan politik hari ini, kita minta Abdul Hadi seorang yang berpengalaman untuk melihat keadaan politik hari ini.

“Kita menghormati beliau sebagai pemimpin utama dalam sebuah parti yang pernah bersama kita dalam kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya bergurau atau tidak ini kita bercerita tentang kestabilan politik negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette