Gambar hiasan.

KUALA KUMPUR – Klip video memaparkan penceramah agama menggelar anggota polis ‘bodoh’ dan membuat kenyataan fitnah warga berkenaan tidak sembahyang Jumaat, dikitar semula.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Skandaguru Anandan, video berdurasi 55 saat yang tular semula di media sosial baru-baru ini merupakan rakaman pada tahun 2016.

Dalam masa yang sama katanya, penceramah berkenaan juga telah dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) di Mahkamah Majistret Barat Daya, Pulau Pinang pada 26 Ogos 2016 dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM7,000.

“Klip video tersebut memaparkan seorang penceramah agama mengeluarkan kenyataan menghina dan memfitnah warga PDRM ketika menyampaikan ceramahnya dengan mendakwa bahawa polis tidak sembahyang Jumaat serta menggelarkan anggota polis sebagai ‘bodoh’ kerana membuat tugasan perangkap had laju di jalan raya,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Skandaguru mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan video berkenaan di mana-mana platform media sosial.

Jelasnya, perbuatan menyebarkan dan berkongsi klip video tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memberi sebarang kenyataan dan tidak mengeluarkan ucapan berunsur fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau.-MalaysiaGazett