Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Penipuan berkonsepkan pelaburan yang menyebabkan beratus-ratus mangsa dengan jumlah kerugian lebih jutaan ringgit masih berlaku.

Terbaharu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) mendedahkan pihaknya menerima lebih 100 pengadu yang tertipu dengan pelbagai jenis skim pelaburan antaranya melalui tabung amanah, pelaburan pembelian saham, pelaburan short term note dan juga penerbitan sukuk.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan,  hampir saban minggu pihaknya berdepan dengan aduan penipuan skim pelaburan tidak kira kaum atau umur.

Menurutnya, ada juga syarikat pelaburan ini telah didaftarkan di luar negara seperti Hong Kong, Singapura dan Australia.

Kata Hishamuddin, kali ini, seramai 100 pengadu tampil membuat aduan kepada MHO dan berharap masing-masing dapat pengadilan setelah mendapati wang yang mereka labur itu telah ‘lebur’ selama-lamanya.

“Melalui siasatan kami dapati bagi pelaburan melalui tabung amanah, syarikatnya didaftarkan di Hong Kong dan bertindak sebagai penasihat. Bagi pelaburan saham pula, syarikat itu didaftarkan di sini.

“Seterusnya untuk pelaburan melalui short term note, sebuah syarikat berdaftar di Hong Kong akan bertindak sebagai pengurus dana dengan melabur ke sebuah syarikat berdaftar di Australia yang kononnya tersenarai Australian Stock Exchange manakala pelaburan melalui penerbitan sukuk, sebuah syarikat berdaftar di Amerika Syarikat (AS).

“Yang menyebabkan ramai masyarakat kita terpanggil untuk melabur bukan sahaja kerana nama-nama besar termasuklah syarikat dalam bursa sebaliknya juga keuntungan pelaburan sehingga 15 peratus hingga 24 peratus setahun.

“Masalah timbul apabila pengadu kita sudah tidak terima bayaran dividen seperti yang dijanjikan malah wang yang dilaburkan juga tidak dipulangkan,” katanya selepas laporan polis secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Daerah Sentul di sini hari ini.

Kata Hishamuddin lagi, lebih malang apabila kebanyakan pelabur mendapat tahu pihak pemasaran skim-skim pelaburan itu juga adalah sama dengan pihak pengurusan syarikat yang telah menerima wang para pelabur.

“Saya telah difahamkan syarikat ini telah memungut hampir RM830 juta dengan jumlah lebih 3,000 pelabur melabur ke syarikat-syarikat tersebut antara tahun 2014 sehingga 2020,” ujarnya. – MalaysiaGazette