Ahli keluarga mangsa MH370 hadir pada majlis 'MH370 Remembering 239 Lives 6 Years Gone' semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hotel Marriott Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 MAC 2020

BEBERAPA hari lepas, Netflix menayangkan dokumentari khas berkenaan tragedi pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 2014.

Dokumentari bertajuk MH370: The Plane That Disappeared itu dilihat trending dalam Netflix seluruh dunia berhubung misteri dan pelbagai teori berkaitan kehilangan pesawat tersebut.

Imbas kembali insiden itu yang berlaku pada 8 Mac 2014, Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri ketika itu telah diuji dengan insiden menggemparkan dunia di mana sidang media sentiasa diadakan bagi memberitahu perkembangan terkini kepada ahli keluarga mangsa serta masyarakat,

Walapun pada 29 Januari 2015, kerajaan mengisytiharkan 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah meninggal dunia tetapi sebagai ketua kerajaan, Najib tidak berputus asa.

Malah beliau memberi jaminan bawa pencarian bagi pesawat malang itu tetap akan diteruskan dan akan menemukan  nasib mereka di dalam pesawat itu.

Najib  turut menanggung kritikan masyarakat dunia kerana kegagalan tiada bukti fizikal atau penerangan yang jelas mengenai punca tragedi itu berlaku.

Bagaimanapun, ketika insiden hitam itu berlaku, Najib tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan gerakan mencari pelbagai negara dilancarkan, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman.

Pasukan itu kemudian mengubah perhatian mereka ke perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika.

Dalam operasi itu, kerajaan semasa pemerintahan Najib  komited mengerahkan pelbagai aset seperti pesawat dan helikopter bagi memastikan pencarian dilakukan dengan betul.

Isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor ketika berkongsi pengalaman beliau ketika insiden itu berlaku berkata, beliau dan keluarganya benar-benar terkejut apabila mengetahui mengenai insiden itu dan pada awalnya menyangka ia adalah nahas kapal terbang.

“Kami tidak tahu bahawa ia akan mengambil masa hampir satu dekad dengan masih tiada jawapan sehingga hari ini. Ketika itu, suami saya (Najib) sibuk dengan operasi berkenaan sehingga tidak mengambil rehat.

“Sudah tentu, kami semua sangat terkesan, apatah lagi bingung dengan perubahan yang berlaku. Dengan teknologi penerbangan canggih yang kita ada hari ini (walaupun sejak sembilan tahun lalu), bagaimanakah sebuah pesawat boleh hilang begitu sahaja dari muka bumi ini?

“Kami tidak faham bagaimana ia boleh berlaku. Adakah Malaysia menjadi sasaran? Jika ya, mengapa? Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik dengan hampir semua negara pada masa itu,” katanya kepada The New Media Hit baru-baru ini.

Rosmah sentiasa mendekati keluarga mangsa MH370 dan juga MH17.

Kata Rosmah lagi, sehingga saat ini, Najib sentiasa mengambil berat tentang persahabatan dengan semua negara atas faktor ekonomi, rakyat dan untuk kemakmuran negara.

Beilau berkata, ketika pemerintahan Najib, satu lagi insiden tergempar yang berlaku adalah kes tembak jatuh pesawat komersial MH17 namun ketika itu keluarga mangsa sekurang-kurangnya dapat menerima hakikat bahawa ahli keluarga mereka yang menaiki pesawat itu telah meninggal dunia.

Mereka tidak menerima nasib seperti keluarga MH370.

“Anak perempuan saya juga menjadi rapat dengan salah seorang ahli keluarga mangsa dan kami melakukan yang terbaik dengan harapan ia dapat melegakan sedikit kesakitan walaupun saya tahu bahawa apa yang kami lakukan tidak akan pernah mencukupi,” ujarnya.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal walaupun pencarian besar-besaran dengan kos tinggi namun tidak berhasil.

Manakala empat bulan selepas itu, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila pesawat MH17 pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Walaupun misi pencarian MH370 adalah yang terbesar dan termahal pernah dilakukan, ia masih gagal menghasilkan sebarang kejayaan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan tanpa ada sebarang jawapan sehingga kini.

Rakyat Malaysia tidak akan sesekali lupa dengan misteri kehilangan malah tanda pagar #Pray4MH370 masih lagi trending sehingga kini walaupun sudah sembilan tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast