LIPIS – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi membaikpulih laluan Jerantut-Benta yang mengalami runtuhan cerun.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementeriannya ketika ini masih melakukan kajian berkenaan runtuhan yang berlaku.
Pihaknya pihaknya yakin bahawa kerja-kerja baikpulih dapat disiapkan dalam tempoh selewatnya empat bulan dari sekarang.
“Salah satu kerosakan jalan raya yang menyebabkan tidak boleh dilalui iaitu antara Benta ke Jerantut tapi ia merupakan di bawah daerah Jerantut.
“Bagaimanapun KKR telah menperuntukan sebanyak RM800,000 kepada syarikat Pintas Utama iaitu konsesi cerun dan beliau bertanggung jawab untuk membaiki runtuhan cerun itu.
“Saya percaya dengan kos RM800,000 ini boleh disiapkan dalam masa antara tiga ke empat bulan, boleh disiapkan kerja-kerja tersebut dan kontraktor ini adalah kontraktor utama dari segi cerun runtuh,” katanya.
Jalan Jerantut-Benta ditutup kepada semua kenderaan berat selama tiga bulan mulai 24 Januari lalu berikutan tanah runtuh akibat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan melibatkan penutupan laluan FT 64 Seksyen 35.10 berhampiran pejabat Felcra Jaya Putra bagi menjamin keselamatan pengguna.
Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahli Parlimen Lipis itu berkata, KKR akan menyegerakan projek itu dan berharap para pengguna bersabar ketika proses baik pulih dijalankan kerana pihak konsensi akan memulakan membina jalan berikutan kajian kini dijalankan.
“Ketika ini masyarakat dari Lipis memang agak jauh sedikit untuk sampai ke bandar Jerantut, terpaksa membuat pusingan di jalan Atong-Kerambit dan juga Jerantut.
“Kita cuba sedaya upaya untuk menyegerakan menyiapkan kerja tersebut, saya yakin boleh siap cepat kerana peruntukan telah diberi dan cerun itu bukan dikategorikan sebagai kerja yang sangat besar,” katanya. – MalaysiaGazette