Dr Zaliha Mustafa (tengah) melancarkan Sambutan Hari Buah Pinggang Peringkat Negeri Selangor 2023 di IOI City Mall Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Penyakit kencing manis atau diabetes kekal sebagai punca utama penyakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini sejak dua dekad lalu diikuti penyakit darah tinggi atau hipertensi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, penyakit kencing manis kini dihidap oleh satu daripada lima orang dan ini amat membimbangkan kerana melibatkan 11.5 peratus populasi Malaysia.

Jelas beliau, 80 peratus terdiri dari golongan itu menghidap penyakit darah tinggi yang mana 74 peratus berpunca masalah kolesterol dan 84 peratus adalah obesiti.

“Penyakit tidak berjangkit dikenal pasti sebagai punca utama kematian dan kehilangan upaya di seluruh dunia terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Bilangan pesakit dialisis di negara ini pula secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dari 26,480 pada 2011 kepada 49,770 pada tahun 2021.

“Antaranya terdapat seramai 43,968 pesakit hemodialisis,5,802 pesakit peritoneal dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah seramai 1,839.

“Ini membawa kepada jumlah keseluruhan seramai 51,609 pesakit dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir atau End Stage Kidney Disease yang menjalani rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sambutan Hari Buah Pinggang Peringkat Negeri Selangor 2023, di sini, hari ini.

Zaliha menambah, penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan progresif yang melibatkan 10 peratus daripada penduduk di seluruh dunia iaitu dengan anggaran lebih 850 juta individu.

Daripada jumlah kata beliau, lebih dua juta orang menjalani rawatan dialisis atau menerima pemindahan buah pinggang.

“Di Malaysia sahaja, bilangan pesakit penyakit kronik buah pinggang telah meningkat dari 9.07 peratus pada tahun 2011 ke-15 iaitu lima peratus pada tahun 2018.

“Kumpulan berisiko tinggi adalah individu yang mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti, golongan lebih tua atau berusia dan kaum wanita,” katanya.

Zaliha berkata, penyakit buah pinggang kronik merupakan beban yang sangat besar terutama di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Ujar beliau, keadaanya sama keadaan dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular iaitu serangan jantung, angin akhmar dan lain-lainnya.

“Bagaimanapun penyakit kronik buah pinggang adalah salah satu daripada penyakit NCD yang kurang mendapat perhatian sedangkan mengikut kajian Global Burden of Disease yang diterbitkan oleh Lancet.

“Penyakit kronik buah pinggang merupakan di antara punca utama kematian dengan kedudukan ke-12 di seluruh dunia pada tahun 2017.

“lanya dijangka akan meningkat kepada kedudukan nombor lima menjelang tahun 2040. Oleh yang demikian sewajarnyalah langkah-langkah konkrit dan proaktif perlu dilaksanakan bagi menangani masalah penyakit buah pinggang kronik terutamanya pengesanan pada peringkat awal, supaya rawatan diberikan adalah paling berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette