Muhyiddin pendapatan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan kali yang ke lima tahun 2022 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat punca pendapatan PKR dan UMNO.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, banyak laporan telah dibuat oleh ahli-ahli Bersatu agar sumber dana kedua-dua parti itu disiasat.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan sama ada PKR, UMNO dan DAP menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan kerana ketiga-ketiga parti itu berada dalam kerajaan Persekutuan sebelum PRU-15 serta memerintah beberapa negeri.

“Tetapi yang disiasat hanyalah Bersatu. Yang didakwa hanyalah saya sebagai Presiden Bersatu.

“Parti lain dan Presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan. Bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di sini, hari ini.

Muhyiddin berdepan enam pertuduhan iaitu empat membabitkan dakwaan menerima suapan berjumlah RM232.5 juta manakala dua lagi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau juga menuduh media arus perdana sebagai tidak bertanggungjawab dan berniat jahat apabila memetik sumber SPRM yang tidak dinamakan berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya sedangkan proses siasatan masih berjalan.

“Seolahnya, mereka telah tahu bahawa saya akan didakwa walaupun siasatan belum selesai,” jelasnya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan akan menjawab segala pertuduhan terhadapnya di mahkamah kelak.

Beliau turut membayangkan bahawa Bersatu bakal berdepan masalah kewangan ekoran pembekuan akaun parti yang disifatkannya sebagai ‘pemangsaan politik’.

“Ini bermakna, parti kita tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja, sewa pejabat dan bil utiliti.

“Parti kita juga tidak mempunyai dana untuk membiayai aktiviti parti dan kempen pilihan raya di enam negeri tidak berapa lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.