KUALA LUMPUR – Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Antaranya meminda perlembagaan mengenai kerakyatan, menghidangkan Menu Rahmah RM5 kepada golongan miskin tegar, memotong 20 peratus gaji menteri sehingga ekonomi pulih, membawa masuk pelabur dan membina hubungan baik dengan negara luar.
Ketua Pengarah JKom, Prof. Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff berkata, selain itu, kerajaan pimpinan Anwar juga menyelesaikan masalah MA63 dengan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan menyemak geran khas tahunan untuk Sarawak dengan menaikkannya kepada RM300 juta manakala bagi Sabah RM260 juta. Kedua-dua negeri ini turut diberi autonomi berhubung projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta.
Malah ujar beliau, pada 24 Februari lalu, Anwar membentangkan belanjawan berjumlah RM388 bilion bagi 2023 dengan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) antara penerima manfaat terbesar serta menerima pelbagai inisiatif dalam belanjawan itu.
“Ini adalah antara kejayaan terbesar Anwar dan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa rakyat menyatakan Kerajaan Perpaduan gagal, ini tidak benar.
“Saya juga rakyat tetapi berasa amat puas hati dengan pemerintahan Anwar,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Semalam, ketika berucap dalam persidangan Bersatu, Muhyiddin mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sebagai gagal.
Beliau dilaporkan berkata, rakyat yang kata kerajaan gagal berdasarkan kaji selidik sebuah firma penyelidikan dengan kerjasama media arus perdana.
Menurut Mohamad Agus, dengan banyak pembaharuan yang dibuat, dalam masa hanya tiga bulan sahaja memerintah, wajarkah kerajaan ini dikatakan gagal?
“Bajet baharu sahaja dibentang dan apabila masuk fasa pelaksanaan, saya yakin bajet ini akan memberikan impak kepada rakyat dan ekonomi kita. Jika tidak berpuas hati lima tahun akan datang buat pilihan baru.
“Sekarang, bagi peluang rakyat merasai bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi keluarga kita dan negara.
“Namun jika dibandingkan kejayaan perpaduan pimpinan Anwar, apa kejayaan Muhyiddin?” soalnya.
Beliau mengimbau di era pemerintahan Muhyiddin dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 berlaku rakyat terjun bangunan, angkat bendera putih dan Parlimen ditutup kerana darurat.
Muhyiddin juga takut untuk membuat undi percaya di Dewan Rakyat, manakala anak di perantauan tidak dapat pulang berjumpa keluarga akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping menyaksikan rakyat menganggur dan pelabur lari.
“Selain itu, selama 33 bulan Perikatan Nasional (PN)-Pas memerintah, lebih RM427juta kes masuk mahkamah. Dinilai dari perbandingan ini, biar pun pelbagai fitnah ditabur ke atas pemerintah sekarang, Anwar adalah perdana menteri terbaik.
“Semoga Anwar tabah dalam meneruskan kerja-kerja membela rakyat dan membawa perubahan kepada politik negara,” katanya.
Beliau yakin dengan kewibawaan Anwar yang mana analisis akhirnya menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak gagal.
“Yang gagal ialah sudah cukup jumlah, melebihi dari cukup tetapi tidak dapat membentuk kerajaan. Inilah kegagalan yang sebenarnya,” sindirnya. – MalaysiaGazette