kerajaan 1MDB
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 31 Mac ini bagi keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International (SRC).

Perkara itu telah disahkan oleh peguam Najib selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan perkara itu hari ini.

Jika permohonan bekas perdana menteri itu dibenarkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan berkenaan

Permohonan Najib itu akan diputuskan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mula mendengar permohonan kebenaran bagi semakan sejak 19 Januari lalu.

Najib yang juga mantan Presiden UMNO telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu selain memohon perintah supaya keputusan rayuan beliau diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Najib memohon supaya rayuan itu didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Semakan ini dilakukan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta pada 22 Julai 2020.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ketika ini, beliau sudah mula menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang juga memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan terbabit.

Dalam prosiding rayuan akhir tahun lalu itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib supaya Tengku Maimun yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Keputusan itu dicapai sebulat suara panel selepas mendapati permohonan terbabit gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah. -MalaysiaGazette