KUANTAN – Selagi masih ada kudrat, selama itulah semangat mereka tidak pernah luntur walaupun penyakit yang dihadapi memang berat untuk ditanggung.
Bagi mereka, penyakit kanser yang dihidapi merupakan ujian daripada Allah terhadap hambaNya dan oleh itu mereka tetap reda.
Itulah reaksi dua pesakit kanser yang disantuni dalam satu program anjuran Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP).
Bagi Muhammad Afeef Rayyan, 7, yang menghidap penyakit kanser hati, dia tetap bersemangat terutama apabila hendak memasuki alam persekolahan dalam masa beberapa lagi.
Kanak-kanak itu yang disahkan menghidap kanser hati pada Mac 2002 telah menjalani pembedahan membuang lebih separuh daripada hatinya.
Penyakit kanser hati itu dikesan apabila ibu bapa Muhammad Afeef mendapati perut anak mereka membesar sebelum membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Menurut Muhammad Afeef sebelum pembedahan dan selepas pembedahan, dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 10 kali kali.
“Banyak kali adik berulangalik dari rumah ke hospital untuk rawatan kimoterapi. Ia menjadi rutin kehidupan hingga adik tidak mempunyai ramai kawan untuk bermain kerana banyak masa dihabiskan di hospital dan rumah. Rambut pun banyak gugur,” katanya yang tinggal di Taman Kotasas.
Muhammad Afeef memberitahu, walaupun sepanjang rawatan dia tidak dapat bertemu dengan kawan-kawan, namun dia tidak sabar untuk memasuki alam persekolahan dalam masa beberapa hari lagi.
“Nanti, adik dapat bermain dan berjumpa kawan-kawan baharu. Adik tak sabar nak mulakan alam persekolahan tahun satu,” katanya.
Muhammad Afeef berkata, dalam pada itu dia juga perlu berhati-hati ketika bermain dengan kawan-kawan kerana pada dadanya masih tersemat pot kimoterapi bagi membolehkan rawatan kimoterapi diteruskan.
Bagi Pengerusi CSP, Zaridah Hashim pengalaman kehilangan dua orang kakaknya akibat kanser tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus melawan penyakit tersebut.
“Dua orang kakak saya telah meninggal dunia pada 2004 dan 2017. Apabila saya sendiri disahkan menghidap kanser payudara beberapa tahun lalu, saya tetap berusaha melawan penyakit tersebut.
“Sehingga kini saya masih dapat bertahan, berkat doa serta sokongan suami dan tiga orang anak, begitu juga rakan-rakan,” katanya,” katanya.
Berikutan kehilangan dua kakaknya akibat kanser, Zaridah terpanggil untuk menubuhkan CSP bagi membantu para pesakit kanser di seluruh Pahang.
“Saya dapat memahami keperitan hidup seseorang pesakit kanser. Memang berat kehidupan mereka ini. Dengan mewujudkan CSP, kita dapat membantu para pesakit selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan,” katanya.
Sementara itu, seorang wakil CSP, Izudin Muhamad Amin berkata, pertubuhan itu mengadakan program dari semasa ke semasa bagi mengumpulkan para pesakit kanser.
Menurutnya, langkah tersebut termasuk mengadakan ziarah rumah ke rumah bagi menghindarkan para pesakit daripada bersendirian yang boleh membawa kepada kemurungan.
“Apabila ada aktiviti atau program anjuran CSP, para pesakit dapat berkenalan antara mereka dan berkongsi cerita.
“CSP akan membantu para pesakit mengikut keperluan mereka. Nampaknya langkah dibuat CSP ini berkesan dan dapat menaikkan semangat mereka untuk terus melawan penyakit dihidapi,” katanya. – MalaysiaGazette