Poster filem Pulau - Sumber internet

KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang kecewa dengan kebenaran tayangan filem Pulau di pawagam mempersoalkan tentang bidang kuasa agensi mana yang membenarkan kebenaran itu.

Persoalan tersebut timbul selepas Kerajaan Terengganu melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman mengharamkan tayangan filem Pulau di seluruh negeri itu  Terengganu walaupun Lembaga Penapis Filem (LPF) memberi Lulus Dengan Pengubahan (LDP) untuk penayangan filem itu.

Presiden PFM, LPF telah melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620] yang memberi LDP kepada filem Pulay yang mana penayangannya wajib dilakukan dengan pemotongan dan mendapat klasifikasi P13 (tayangan umum).

Bagaimanapun, tambahnya, keputusan LPF itu tetap tidak dihormati oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun PBT memberi arahan kepada pawagam mengharamkan tayangan filem Pulau tanpa sebab.

Malah menurut Pansha, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang turut meluluskan filem Pulau di bawah Peraturan Skim Wajib Tayang FINAS [Akta 244] juga tidak dihormati oleh PBT.

“Secara langsung melanggar peruntukan Akta 244 yang membuat pihak pawagam keliru, atas arahan dari siapa yang perlu dipatuhi dan ianya boleh dikenakan tindakan dari pihak FINAS atau PBT sekiranya melanggar arahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PFM telah membuat rayuan dan aduan rasmi kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada akhir Februari lalu namun perkara itu masih tidak dapat diselesaikan.

Berikutan itu, persatuan tersebut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu menyelesaikan perkara tersebut.

Sementara itu, Pansha berkata, tidak membuat rayuan kerajaan Terengganu berikutan pengharaman penayangan filem tersebut kerana kurang jelas arahan pengharaman tayangan filem itu merujuk kepada peruntukan undang-undang mana.

Namun katanya, PFM difahamkan penerbit filem Pulau telah berkali-kali cuba berbincang dan menjemput wakil Kerajaan Terengganu untuk pra-tonton filem itu tetapi tidak dilayan.

Jelasnya pengharaman tayangan filem itu menunjukan pertindihan arahan atas kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Terengganu.

“Sehubungan dengan kemelut siapa yang lebih berkuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu ini, sudah pasti industri perfileman tempatan yang menjadi mangsa.

“Secara langsung mengganggu gugat proses pemulihan ekonomi industri perfileman negara ini. Ianya juga dilihat oleh penerbit atau pelabur dari luar negara yang mempunyai hasrat untuk melabur kepada industri perfileman tempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette