KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tommy Thomas wajar diheret ke muka keadilan kerana terlibat menarik balik permohonan rayuan keputusan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura pada Mei 2018 tanpa merujuk kepada kerajaan negeri mahupun Majlis Raja-Raja.
Ini kerana, tindakan mereka ini ketika berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu dilihat sebagai pengkhianatan terhadap negara serta penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Neow Choo Seong.
“Ketika itu Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pasukannya telah memfailkan bukti baharu dalam permohonan 2 Februari 2017 bagi tujuan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, pada 23 Mei 2008 yang menyerahkan pulau itu kepada Singapura.
“Tindakan penarikan balik itu yang dibuat tanpa merujuk kepada kerajaan negeri mahupun Majlis Raja-Raja sepatutnya dianggap sebagai suatu bentuk pengkhianatan terhadap negara serta penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk makluman pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.
Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.
Choo Seong berkata, MCA berharap kerajaan dapat meneruskan rundingan peringkat tinggi dengan pihak Singapura atas semangat kejiranan bagi mencari penyelesaian yang lebih baik dan bermakna bagi isu kedaulatan Pulau Batu Putih. – MalaysiaGazette