Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) menjangka kos bagi menunaikan haji bagi tahun ini akan meningkat kepada RM30,850 seorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peningkatan itu naik lebih RM2,000 pada tahun lalu.

“Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ianya terdedah kepada faktor-faktor di luar kawalan Lembaga Tabung Haji termasuk kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan dollar Amerika, kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi.

“Projek pembesaran yang berterusan di Mekah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan, serta caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya dalam jawapan bertulis semalam.

Mohd Na’im berkata demikian menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) yang ingin tahu apakah langkah serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

“Kadar bayaran haji untuk musim haji tahun 2023 akan mengambilkira kenaikan kos-kos menunaikan haji saban tahun sedang dikaji oleh pihak Kerajaan bersama Lembaga Tabung Haji dan seterusnya akan dimaklumkan oleh Lembaga Tabung Haji kelak,” jelas Mohd Na’im lagi.

Untuk rekod, kos sebenar tunai hari tahun lepas adalah pada RM28,632 seorang sementara jemaah haji Kumpulan B40 telah mendapat Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM17,652 seorang (iaitu 62 peratus daripada kos tersebut) dan hanya perlu membayar RM10,980 seorang.

Manakala jemaah haji kumpulan Bukan B40 pula hanya perlu membayar RM12,980 seorang di mana Bantuan Kewangan Haji mereka adalah 55 peratus daripada kos menunaikan haji yang sebenar. – MalaysiaGazette