ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada media ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Larangan menyebarkan propaganda politik kepartian melibatkan masjid dan surau di Selangor sewajarnya dilakukan bagi mengelakkan penyalahgunaan institusi agama itu berulang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, larangan itu perlu diambil berat oleh semua pemimpin dan parti politik agar tidak menimbulkan perpecahan rakyat khususnya di Selangor.

“Ketika kempen PRU15, kita lihat ada surau di Pantai Timur digunakan sebagai pentas berkempen untuk menyebarkan fahaman dan dakyah tidak wajar oleh sesetengah parti politik.

“Ada tempat-tempat (semasa PRU15) yang menggunakan institusi ini untuk mengagihkan dana politik.

“Kita tak nak perkara ini berlaku di Selangor dan titah baginda itu sangat tepat di mana Selangor bakal menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kebimbangan apabila ada segelintir individu yang menjadikan masjid dan surau sebagai medan untuk menyebarkan propaganda politik kepartian.

Baginda bertitah, sekiranya perkara itu dibiarkan, kelak boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam kerana perbezaan fahaman dan dendam politik.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menitahkan MAIS dan JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Dalam pada itu, Imran berkata, ia bukan kali pertama menitahkan larangan itu, bahkan Baginda pernah mengingatkan larangan itu sebelum ini.

“Perkara ini bukan pertama kali dititahkan Sultan Selangor, baru-baru ini pun sebelum perasmian Dewan Negeri Selangor, baginda telah bertitah ketika istiadat penyampaian watikah imam dan nazir masjid.

“(Kebimbangan Baginda) itu timbul apabila melihat perkara itu berlaku dalam kempen PRU15 lalu dengan menggunakan sentimen agama termasuk bersumpah dengan nama Allah untuk mengundi parti tertentu.

“Ini adalah sesuatu yang tidak perlu diamal atau digunakan dalam PRN Selangor yang akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette