Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendesak Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) agar menarik balik kenyataan beliau yang mengatakan perarakan Hari Wanita di ibu negara kelmarin bertukar kepada agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Johari berkata, sekiranya Wan Razali membuat kenyataan tidak pasti, beliau sepatutnya menarik balik kenyataan itu.

“Adakah anda pasti perarakan itu adalah LGBT? Yang lain diam.

“Kalau pasti kata ya, kalau tidak kata tidak? Adakah perarakan itu adalah LGBT ataupun perarakan wanita?

“Kamu pasti yang berarak itu adalah LGBT dan dianjurkan LGBT?, soal Johari.

Menjawab pertanyaan itu, Wan Razali berkata, kumpulan itu ada bersama-sama dalam perarakan tersebut.

“Dia ada bersama,” jawabn Wan Razali.

Johari kemudiannya terus bertanyakan soalan samada Wan Razali yakin dengan kenyataan beliau mengenai perarakan tersebut.

“Saya tanya adakah perarakan itu LGBT atau tidak? Kalau ya saya akan semak dan kalau bukan, kamu akan dikenakan tindakan.

“Soalan saya ya atau tidak atau tidak pasti?, soal Johari lagi.

Wan Razali menjawab; “Saya tidak pasti.

Beliau kemudiannya diarahkan untuk menarik balik kenyataan tersebut.

“Saya tarik balik (kenyataan perarakan wanita itu adalah perarakan LGBT),” kata Wan Razali.

Sebelum itu, Wan Razali ketika menbahaskan perbahasan sesi penggulungan Kementerian Perpaduan di peringkat jawatankuasa menyebut terdapat perarakan LGBT di ibu negara.

“Baru-baru ini tular perarakan LGBT di ibu negara yang mana sebelum ini Perdana Menteri menegaskan tidak mengiktiraf golongan LGBT tetapi mengapakah perarakan di jalanan oleh penyokong LGBT diadakan seolah-oleh mendapat kebenaran daripada piha berkuasa.

“Bahkan turut diadakan dialog secara terbuka di pusat beli belah ibaratnya mempromosikan perkara yang bertentangan dengan agama,” bahas beliau di Dewan Rakyat.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bingkas bangun mempersoalkan kenyataan Wan Razali.

Tze Tsin berkata kenyataan itu adalah fitnah terhadap kerajaan.

“Kuantan (Ahli Parlimen) sebut tadi kerajaan izinkan, sebenarnya polis sedang siasat dan biarkan polis buat kerja mereka. Jangan tuduh kerajaan beri sebarang permit, pembangkang sering kaitkan dengan tindakan kerajaan.

“Itu kerja NGO,” katanya sebelum mendapat campur tangan Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Untuk rekod, polis telah membuka kertas siasatan berhubung pengajuran perhimpunan dan perarakan sempena Hari Wanita 2023 yang diadakan di ibu negara Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette