Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Fatwa ini telah dikenakan terhadap SIS sembilan tahun lalu iaitu sejak 2014.

Dalam satu keputusan berbelah bahagi 2-1 hari ini, tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berpandangan kumpulan hak wanita itu tidak mempunyai merit manakala seorang lagi panel hakim, Datuk Gunalan Muniandy tidak bersetuju.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai company limited by guarantee tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. – MalaysiaGazette