Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas kenyataan beberapa pihak yang mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan kerana berpegang kepada prinsip undang-undang negara termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma.

Ketuanya Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, Saifuddin Nasution tidak perlu tunduk kepada desakan kumpulan mementingkan agenda songsang yang mengenepikan undang-undang.

Katanya, Malaysia merupakan negara berpelembagaan dan Sosma adalah sah disisi undang-undang dan Perlembagaan negara.

“”Kita adalah rakyat Malaysia dan wajib patuh kepada undang-undang negara dan mempertahankan kedaulatan negara, jika kita tidak menegakkan undang-undang negara apa lagi yang kita ada.

“Tidak ada salahnya beliau (Saifuddin Nasution) menyatakan Akta Sosma masih diperlukan dalam negara, hanya pengkhianat dan mereka yang menderhaka kepada Sultan dan pemerintah negara ini sahaja yang menentang undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Nadzim, jika mana-mana pihak mahukan perubahan dalam undang-undang negara, mereka harus melalui proses yang betul.

“Bukan cara kita paksa atau desak menteri letak jawatan…jika nak perubahan, gunakan saluran yang betul…apa guna desak menteri letak jawatan kerana beliau menjalankan tugas,” ujarnya.

Katanya lagi, terdapat banyak kaedah lain dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah yang antaranya adalah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 atau bon kelakuan baik dan
sebagainya.

Malah, jelas beliau, bukan semua perlu dipenjara tetapi, perlu menggunakan saluran betul untuk melakukan perubahan dan cara mendesak menteri meletakkan jawatan.

Sebelum ini media melaporkan, Saifuddin dipetik berkata, undang-undang itu diperlukan dalam negara dan Pakatan Harapan (PH) pernah menjanjikan pemansuhan Sosma dalam manifesto pilihan rayanya.

Bagaimanapun, Kumpulan hak asasi Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) dilaporkan menggesa Saifuddin digugurkan daripada portfolio keselamatan dalam negeri, kerana mendakwa jawatan itu perlu digalas seseorang yang menghormati hak asasi manusia dan mahu menegakkan keadilan. – MalaysiaGazette