BERTAM – Tiga beradik perempuan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas bapa mereka terlibat dalam kemalangan di Prachuap Khiri Khan, Thailand ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air semalam.
Mangsa, Mohamad Razis Zakaria, 42, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu dikatakan terbabas sendiri ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah maahad tahfiz di Bangkok.
Ibu mangsa, Chek Basah Sabri, 62, berkata, anak keduanya daripada sembilan beradik itu sudah berada di Thailand sejak seminggu lalu bagi menghantar bantuan di beberapa maahad tahfiz di negara tersebut.
Jelas suri rumah itu, anaknya yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Sarawak aktif dalam kerja amal sejak berusia 21 tahun dan sudah lebih 15 tahun dia mengunjungi maahad tahfiz di Thailand bagi menyampaikan bantuan.
“Mak cik tinggal di Pantai Remis, Perak dan semalam kami terima panggilan daripada rakannya pada jam 10 pagi yang memaklumkan dia (Mohamad Razis) meninggal dunia dalam kemalangan di Thailand.
“Kami sekeluarga terkejut dengan kejadian itu kerana tiga anak perempuannya berusia lapan hingga 16 tahun baru saja kehilangan ibu pada 2020 akibat masalah kesihatan dan kini bergelar yatim piatu.
“Sejurus itu, saya dan suami bergegas ke Bertam untuk urusan membawa pulang jenazah Mohamad Razis selain mahu bersama tiga cucu kami meskipun mereka tinggal bersama ibu tiri yang baru dikahwini ayah mereka setahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Chek Basah, Mohamad Razis seorang anak yang baik, suka membantu ahli keluarga termasuk kenalannya.
“Meskipun dia (mangsa) seorang pendiam tapi dia ringan tulang dalam membantu adik- beradik khususnya dari segi kewangan termasuk membiayai kos pendidikan tujuh adiknya yang mana sebahagian hingga ke menara gading.
“Malah, dalam pertemuan terakhir kami minggu lalu dia mengeluarkan kata-kata agar anaknya tinggal bersama saya susulan kanak-kanak itu minta dibekalkan gulai ikan untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang dan tidak sangka ayat itu kini menjadi kenyataan,” jelasnya.
Sementara itu, isteri mangsa, Salma Mohd Sobri, 31, tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan suaminya itu telah membuat tempahan dua ekor kambing untuk Aqiqah anak mereka yang dijangka lahir bulan depan.
“Kali akhir saya hubungi suami, dia memaklumkan dalam perjalanan pulang namun tidak lama kemudian saya dikejutkan dengan panggilan daripada rakannya yang memberitahu dia meninggal akibat terlibat dalam kemalangan.
“Setakat ini, bapa mertua serta adik ipar saya berada di Thailand bagi urusan membawa pulang jenazah suami dan kami tidak tahu jangkaan mereka tiba di sini memandangkan jarak lokasi mereka dengan sempadan negara hampir 700 kilometer.
“Segala persiapan urusan jenazah di sini telah dilakukan dan suami dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, Permatang Langsat di sini,” katanya. – MalaysiaGazette