SUBANG JAYA – Bekalan barangan keperluan masih terkawal menjelang Ramadan kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurut beliau, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan untuk seluruh negara mencukupi.
Bagaimanapun katanya, KPDN sentiasa memantau perkembangan berkenaan dari masa ke semasa bagi persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Itu nanti kita putuskan. KPDN dan MAFS sentiasa bekerjasama di peringkat pegawai untuk melihat, memastikan bekalan rantaian cukup.
“Dari segi harga juga, kita akan pastikan dapat dikawal menjelang perayaan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya Mydin di bawah Payung Rahmah.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.
Dalam pada itu Salahuddin berkata, kementerian berkenaan akan mengumumkan Skim Harga Barang sempena Ramadan dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette