Chan Foong Hin.- Foto MOHD ADZLAN, 15 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak ada individu bernama ‘Deepak’ terlibat dalam Belanjawan 2023 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Perkara tersebut ditegaskan timbalan menterinya, Chan Foong Hin dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat petang tadi.

“Untuk individu bernama ‘Deepak’ ini tidak ada kaitan dengan butiran buku belanjawan ini,” katanya.

Nama Deepak disebut Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam – BN) yang mendakwa individu tersebut telah menghubunginya berkaitan isu pengimportan telur dari India yang ditimbulkan di Dewan Rakyat.

Ka Siong berkata, individu berkenaan mewakili syarikat J&E Advance Tech dan mendakwa telah mencapai persetujuan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya beliau membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur dari India.

“Saya kata, apa ini? Apa yang berlaku ialah, saya kata, saya tak sebut nama syarikat kamu, saya tak sebut nama kamu.

“Dia kata you kena buat satu statement untuk membetulkan apa yang dibuat di Parlimen. Saya kata saya tak sebut nama you, nama syarikat, kenapa nak buat macam tu? Saya cuma jadi jurucakap rakyat. Ini masalah bekalan telur,” kata Ka Siong.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, memberi jaminan bahawa apa-apa ucapan dibuat oleh ahli Parlimen dalam mesyuarat Majlis Parlimen terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan itu diberi selepas Ka Siong dikatakan diancam tindakan saman daripada pengimport telur dari India susulan ucapannya dalam Dewan Rakyat penghujung Februari lalu.

Sementara itu, Foong Hin menjelaskan, kerajaan tidak ada mengeluarkan sebarang peruntukan untuk mengimport telur dari India.

“Ini sudah dijelaskan menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu) baru-baru ini dan beliau menjawab dalam Dewan Rakyat sebarang risiko perniagaan ditanggung oleh pengimport sendiri.

“Kita sehingga kini memberi satu Permit Import kepada syarikat tersebut tanpa melibatkan sebarang dana awam,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan telah memutuskan supaya subsidi ayam dan telur diteruskan sehingga Jun 2023 dengan angaran RM1.28 bilion.

Peruntukan tersebut tidak disediakan secara khusus dalam Belanjawan 2023.

“Sama ada (subsidi) disediakan secara peruntukan tambahan atau dibiayai secara peruntukan dalam akan diputusakan oleh Kementerian Kewangan.

“Kementerian telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan pada 6 Mac lalu,” kata beliau.-MalaysiaGazette