Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara kredit terus ke akaun murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan kejadian kecuaian pengurusan hingga wang tersebut dicuri tidak berulang.

“Walau bagaimanapun, cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank,” kata Hui Yin di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin (BN) Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa yang meminta KPM menyatakan mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah pengurusan wang BAP hingga menyebabkan bantuan kepada murid itu dicuri.

Sementara itu Hui Ying berkata, penjelasan dan maklumat berkaitan pengurusan wang BAP Tahun 2023 kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diberi secara bertulis melalui surat bertarikh 29 Disember 2022.

Turut dilampirkan adalah Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan.

“Susulan daripada surat yang dikemukakan ini, satu sesi Taklimat Pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2023 telah dilaksanakan pada 11 Januari 2023.

“KPM sentiasa memberi taklimat secara berterusan bagi memastikan pengetua dan guru besar mematuhi tatacara kelola pengurusan wang di sekolah,” tegas beliau.

Perkara 6 Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan menyatakan bahawa pihak sekolah perlu mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank yang selamat.

Mengikut peraturan semasa pengeluaran wang tunai sehingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi oleh dua orang guru.

Pengetua atau guru Besar perlu mengambil langkah keselamatan tambahan seperti mendapatkan perkhidmatan polis pengiring berdasarkan Arahan Perbendaharaan (AP 137) mengenai Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan bagi pengeluaran wang tunai melebihi RM10,000.

Pada Januari lalu wang tunai BAP berjumlah RM109,000 dikeluarkan seorang guru besar hilang selepas dilarikan penjenayah di Pekan Semenyih, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan, polis tidak menerima sebarang permohonan pengiring bagi pengeluaran wang berkenaan.

Guru besar yang berusia 50 tahun itu sebelum ini menyatakan sudah biasa berurusan bersendirian ketika mengeluarkan wang tanpa menggunakan khdimat pengiring sejak 10 tahun lalu.-MalaysiaGazette