PUTRAJAYA – Inisiatif dan semangat yang dibawa oleh pasukan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) diharap bukan sahaja memberi inspirasi sebaliknya mampu membawa kebanggaan besar kepada negara.
Itu antara harapan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh yang teruja dengan pasukan pendaki yang disertai pelbagai latar belakang dan bangsa.
Misi empat pendaki ME 2023 untuk menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter dari aras laut akan bermula 2 April ini sehingga 3 Jun di Nepal.
“Inisiatif ME 2023 ini bukan sahaja memberi inspirasi malah turut membanggakan rakyat Malaysia melihat para pendaki bersedia mengharungi cabaran menawan puncak Everest.
“Kita berharap apabila misi ini berjaya, pengalaman dilalui semua pendaki boleh dikongsi untuk memberi tunjuk ajar kepada pihak lain yang meminati bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ‘flag-off’ di Menara KBS di sini yang turut disertai Timbalannya, Adam Adli dan Ketua Misi ME 2023,Tan Sri Salleh Mohd Nor.
ME 2023 disertai Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 56; anggota Komando 69 Kem Ulu Kinta, Koperal Pragash Murugesu, 33; kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 30 dan orang kurang upaya (OKU) pekak, Muhammad Hawari Hashim,33.
Hannah juga mahu semua yang terlibat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan terlebih dahulu dan sekiranya tidak mampu, elak memaksa diri kerana nyawa itu lebih penting.
ME 2023 mendapat sokongan Kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud bertujuan menawan puncak tertinggi dunia dengan mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa. -MalaysiaGazette