Sebahagian daripada peserta forum , seminar yang hadir di onvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC 2023) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bergambar bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor berjaya mencapai sasaran nilai padanan perniagaan halal sebanyak RM55.7 juta di samping 8,000 kehadiran pengunjung pada Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur  baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding sasaran nilai padanan sebanyak RM50 juta yang disertai hampir 100 penyertaan dari luar negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Thailand.

Beliau berkata, lebih 200 pempamer berhimpun di SELHAC 2023 yang menjadi satu komponen penting di dalam perancangan ekonomi untuk melonjakkan industri halal sebagai salah satu daripada sembilan sektor fokus bagi mengukuhkan ekonomi negeri itu.

“SELHAC merupakan acara penting di dalam agenda halal untuk memposisi dan memanfaatkan kekuatan Selangor dalam mendukung ekonomi halal serantau.

“Ia melalui pembangunan perniagaan-perniagaan yang mempunyai potensi bagi menembusi pasaran halal global yang diunjurkan akan bernilai USD2.8 trilion menjelang tahun 2025.

“Membina komuniti halal yang lebih kukuh dan makmur adalah sesuatu yang tidak ternilai dan kita telah bersama-sama berkongsi nilai, tradisi dan memperkuatkan komitmen kepada prinsip-prinsip persahabatan, integriti dan kebolehpercayaan untuk membina komuniti halal yang bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap di majlis penutup Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC 2023).

Mohd. Zawawi menambah, pempamer yang terlibat bukan sahaja dari Selangor, malah hadir dari Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan juga negara luar.

Jelas beliau, anggaran jualan yang direkodkan pula hampir RM100,000 di pameran SELHAC kali ini.

“Seramai hampir 8,000 pengunjung menyertai pameran, Seminar Kewangan Islam & Logistik Halal, Forum Rantaian Bekalan dan Penembusan Pasaran termasuk Persidangan Eksekutif Halal yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Bahkan penyertaan ke forum industri halal dan seminar kewangan Islam melebihi 500 orang. Terdapat banyak lagi pencapaian yang tidak dapat dinilai sepanjang penganjuran SELHAC 2023 di samping peluang-peluang perniagaan dan hubungan yang dicapai, konvensyen ini juga meraikan kekayaan dan kepelbagaian sektor halal di negeri Selangor,” tambahnya.

SELHAC 2023 dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dan diurus oleh HIS Toyyiba Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Halal International Selangor (HIS) yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan). – MalaysiaGazette