KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia meminta polis menyiasat penganjur Jom Ziarah Gereja anjuran Impact Malaysia yang diadakan Sabtu lalu di Selangor.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, satu laporan polis telah dibuat sayap parti itu di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini, bagi membolehkan pasukan keselamatan membuat siasatan.
Pada masa sama, katanya, Wira Putra mengutuk sekeras-kerasnya penganjuran program itu, yang menjemput golongan belia bukan Kristian untuk bersama menziarahi gereja.
“Impact Malaysia adalah sebuah agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Mereka menganjurkan program yang dinamakan Artikel 11 Jom Ziarah.
“Walau apa tujuan sekali pun, program ini bukan sahaja boleh ditafsirkan bertentangan dengan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan, malah sebagai cubaan secara halus untuk menyebarkan dakyah dan doktrin agama Kristian.
“Ini akan memudaratkan akidah umat Islam, walaupun Menterinya, Hannah Yeoh menyebut tiada data menunjukkan terdapat penyertaan peserta beragama Islam dalam program ke Gudwara pada 11 Mac lalu,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, ketika menjawab isu itu di Parlimen, Hannah dilaporkan berkata, Projek Artikel 11 Jom Ziarah Gereja yang dikendalikan syarikat Impact Integrated Berhad tidak melibatkan belia Islam.
Ahli Parlimen Segambut itu turut menyangkal program berkenaan adalah usaha untuk menjadikan semua agama setaraf sebagaimana dakwaan segelintir pihak.
“Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact di bawah KBS bukan untuk menyamaratakan kedudukan mana-mana agama, bukan juga projek yang berniat beri gambaran semua agama adalah sama sebagaimana dakwaan dan anggapan sesetengah pihak,” kata Hannah.
Menurut Nasrul Ali Hasan, jemputan yang dibuat secara terbuka itu, secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada sesiapa sahaja di kalangan belia untuk mendaftar menyertainya.
Malah, tegas beliau, tindakan itu menyalahi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.
“Meskipun di Malaysia setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi terhad untuk mengembangkannya kepada orang yang bukan beragama Islam sahaja.
“Yang menjadi persoalan, apakah tujuan program ini dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia? Adakah untuk dijadikan supaya ada rekod terdahulu yang boleh dilaksanakan lagi pada masa depan sebagai program ulangan?
“Menteri juga sebagai seorang mantan Speaker DUN Selangor pastinya mengetahui mengenai undang-undang yang digunakan di negeri itu.
“Seluruh negara juga cukup kenal dengan pendirian Hannah dan usahanya menyebarkan agama Kristian seperti terkandung dalam bukunya Becoming Hannah,” katanya.
Jelas beliau lagi, program itu dijadualkan akan diadakan di Klang, Selangor, yang mana Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) Kerajaan Negeri Selangor di bawah Perkara 4(1) dan 6(1) melarang sebarang perbuatan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam mengunjungi atau mengaturkan perjumpaan bagi mendedahkan sesuatu ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam.
Beliau turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis menyiasat, menahan, mendakwa dan menyekat sepenuhnya program yang akan dianjurkan pada 18 Mac ini.
“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana cuba menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan beragama serta larangannya di dalam Perkara 11 dengan telus dan tanpa tolak ansur bagi membersihkan semula nama KBS serta institusi Islam di Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette