KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dapat dipertimbangkan setelah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi berada di landasan yang lebih kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, pelaksanaan bagaimana cukai itu dapat ditambah baik berbanding sebelum ini perlu ditentukan terlebih dahulu.
“Sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
”Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan
mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Selasa lalu, Anwar berkata, Malaysia belum bersedia melaksanakan semula GST kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.
Berbanding Malaysia, katanya, negara lain yang melaksanakan cukai terbabit seperti Singapura, Kanada atau New Zealand menyaksikan pendapatan minimum rakyat mereka adalah munasabah.
Dalam jawapan bertulis sama, Anwar berkata, Bajet 2023 telah meneroka langkah baru bagi meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.
Antaranyameningkatkan cukai pendapatan bagi individu bagi mereka dengan pendapatan bercukai melebihi RM230,000 setahun, dan pengumuman cadangan Cukai Barangan Mewah dan Cukai Keuntungan Modal ke atas jualan saham tidak tersenarai. – MalaysiaGazette