Sebahagian daripada wanita yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan

WANITA merupakan penggerak utama keluarga dan jentera pembangunan negara. Bermula dari rumah hinggalah ke tahap kepimpinan negara, peranan wanita amat signifikan dalam kehidupan. Lebih sinonim, kehadiran wanita mewarnai kehidupan setiap individu yang berada di sekelilingnya.

Bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2023 ini, suntikan tema “kasih wanita” menjadi gagasan untuk memperkasakan golongan wanita sebagai modal insan yang berdaya saing, kompeten, dihargai, dan mencapai kesejahteraan holistik. Sehubungan itu, tema “kasih” ini tercipta hasil akronim yang memberi refleksi kepada nilai keluarga iaitu Kasih sayang, Akhlak, Sihat fizikal dan mental, Ilmu dan Harmoni (KASIH). Elemen kasih ini amat signifikan dalam memperkasakan wanita ke arah mencapai kehidupan sejahtera.

Pemerkasaan wanita adalah asas untuk melandaikan garis jurang gender. Ini kerana, Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 menunjukkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2021 adalah sebanyak 0.707 dan di arena dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-103 masih jauh ketinggalan berbanding negara serantau yang lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Oleh itu pemerkasaan wanita dalam domain utama seperti ekonomi, politik, bidang profesional dan teknikal, kepimpinan, aspek kesihatan, kesejahteraan dan lain-lain lagi perlu dipertingkatkan.

Selari dengan komponen kasih sayang dalam tema “kasih” bagi sambutan hari wanita 2023, nilai kasih sayang menjadi tunjang utama dalam memacu emosi wanita menjadi lebih stabil dan sejahtera. Kasih sayang ini boleh diraih menerusi dua bentuk iaitu; pertama merangkumikasih sayang yang ‘diterima’ daripada individu berada disekeliling wanita seperti kasih pasangan, anak-anak, ibu bapa dan kenalan terdekat. Manakala kedua, nilai kasih sayang wanita ‘berikan’ kepada individu dalam hidupnya iaitu perasaan kasih sayang wanita terhadap suami, anak-anak, ibu bapa juga individu lain yang signifikan dalam hidupnya.

Penerimaan kasih sayang daripada ahli keluarga khasnya boleh meningkatkan nilai penghargaan kendiri dalam diri wanita manakala pemberian kasih sayang kepada orang lain yang terdekat dapat mewujudkan rasa bahagia dalam diri wanita tersebut. Justeru, elemen kasih boleh membuatkan kehidupan wanita terisi dan penuh bermakna.

Selain itu, nilai kasih yang terbentuk dengan ikhlas dapat mengeratkan hubungan seperti menyantuni hubungan suami isteri dengan mudah memaafkan pasangan agar kelestarian hubungan perkahwinan berkekalan. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ketahahan serta kemandirian diri wanita untuk menghadapi sebarang kesulitan dalam kehidupannya.

Elemen kedua dalam tema “kasih” mewakili akhlak dalam membentuk peribadi wanita yang solehah dan mulia. Sejajar dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah”‏  (Riwayat Muslim, No 715).

Berdasarkan hadis tersebut, pegangan agama menjadi kunci utama dalam melahirkan wanita berakhlak mulia. Wanita perlu menjaga akhlak dengan baik dengan mematuhi suruhan agama untuk menutup aurat dengan sempurna. Hal ini dapat mengelakkan seseorang wanita daripada terjebak dalam kancah maksiat.

Selain itu, penerapan elemen akhlak yang baik dapat meningkatkan kualiti dalam diri seseorang wanita. Hal ini dapat dilihat apabila seorang wanita yang mempunyai budi pekerti baik dapat mendidik dan menjadi model rujukan anak-anak bagi melahirkan generasi soleh dan solehah.

Sementelah itu, elemen ketiga ialah penumpuan terhadap ‘sihat’ yang membawa maksud kepada kesihatan fizikal dan mental. Kesihatan fizikal menjadi kunci utama dalam memastikan kesejahteraan hidup dapat dicapai. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesihatan fizikal yang terganggu memberi kesan secara tidak langsung terhadap gangguan emosi wanita dan ahli keluarganya.

Tambahan pula, laporan KKM mendedahkan kecelaruan mental dalam kalangan wanita merisikokan wanita untuk menghidapi kemurungan, mencederakan diri, kecelaruan pemakanan, kebimbangan, kecelaruan stres pasca-trauma dan dementia. Oleh itu, penjagaan kesihatan fizikal yang baik dapat menjana kesihatan mental dan emosi yang sihat. Hal ini dapat dipraktikkan melalui gaya hidup seperti pengambilan makanan berkhasiat, bersenam, pengambilan air putih dan tidur yang mencukupi, serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memastikan kesihatan diri mencapai tahap yang optimum.

Elemen keempat tema kasih bersempena hari wanita adalah ilmu. Ilmu merupakan pengisian penting yang perlu ada dalam setiap diri wanita. Pengisian ilmu yang mantap dan baik dapat membawa keperibadian seorang kepada darjat tertinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah akan hal ini dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Mujadalah (ayat 11) yang bermaksud; “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah maha mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan”.

Justeru, golongan wanita haruslah sentiasa maju ke hadapan dalam mencorak hidup untuk mencapai kesejahteraan diri dan keluarga. Tanpa ilmu, wanita akan mudah terdedah kepada kemudaratan dan manipulasi dalam kehidupan mereka. Bahkan, wanita akan lebih mudah ditindas dan tidak diberikan hak sewajarnya sekiranya mereka tidak bangkit serta mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Sementara itu juga, wanita yang berpendidikan dapat melahirkan anak dengan didikan yang baik dan kebajikan pendidikannya tidak diabaikan.

Harmoni merupakan elemen terakhir yang mendasari tema “kasih”. Harmoni secara ringkasnya sinonim dengan kesejahteraan yang mana perlu diambilkira dalam memperkasakan diri wanita. Elemen harmoni boleh ditakrif sebagai sesuai, sepadan dan selaras dalam wanita mengimbangi kehidupan keluarga, mahupun kerjaya. Meskipun rata-rata wanita pada hari ini mempunyai kerjaya, elemen harmoni adalah titik keseimbangan yang ingin digarap bagi mencapai kesejahteraan hidup. Hasil dari gabungan kesemua elemen “kasih” bakal melahirkan keharmonian dalam diri setiap wanita.

Tuntasnya, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Sumbangan golongan wanita perlu diberi perhatian dan penyediaan saluran kebajikan perlu diwujudkan bagi memastikan golongan wanita dapat berkembang maju seiring dengan arus pemodenan dunia yang berkembang pesat. Tambahan itu, pihak kerajaan harus menggiatkan usaha memperkasakan wanita agar mereka dapat berdaya saing dan terus maju ke hadapan. Malah, sinergi daya saing wanita perlu dipertingkatkan bagi mengoptimumkan modal insan dan sumber produktiviti negara.

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast