Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan peluang menaiki MRT pada Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Produktiviti negara akan terjejas sekiranya masalah kesesakan jalan raya tidak diatasi dengan sebaik mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesesakan jalan raya hingga menghalang ke tempat kerja merupakan salah satu penyebab punca hilangnya produktiviti.

“Satu kajian menarik di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.

“Sebab itu jawapannya apa…jawapannya pengangkutan awam.

“Jadi yang minta diselenggrakan sebahagiannya MRT Corp dan terpulang kepada Kementerian Pengangkutan, menetapkan apa keutmaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan peluncuran MRT2 Laluan Putrajaya di Depoh Transit Aliran Massa (MRT), Serdang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tambang percuma untuk laluan MRT Putrajaya bermula pukul 3 petang nanti sehingga 31 Mac ini.

Perkhidmatan percuma itu dari stesen MRT Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral ditawarkan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya hari ini.

Perkhidmatan MRT2 laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer (km) adalah projek kedua MRT Lembah Klang, yang menelan belanja RM30.53 bilion.

Laluan berkenaan mempunyai 36 stesen, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.

SKetika ditemui media di Stesen MRT Putrajaya Sentral selepas merasai sendiri pengamalannya menaiki MRT tersebut, Anwar meminta orang ramai yang akan menggunakan pengangkutan berkenaan supaya memberikan kerjasama sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, baik dan kita mahu rakyat gunakan dulu secara percuma sehingga 31 Mac.

“Saya tanya tadi dari segi maintenance (penyelenggaraan), dari segi pengawasan, kebersihan semua dikawal.

“Cuma, kita minta pengguna juga beri kerjasama dan kita sedang merangka strategi supaya pengangkutan awam tu menjadi strategi utama memudahkan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast