Muhammad Hanif Jamaluddin

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengambil cuti sementara menunggu siasatan salah guna kuasa dan konflik berkepentingan dalam kes menganugerahkan projek kepada syarikat secara runding terus bernilai RM700 juta.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, DPPS berpegang bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu tampak dan ditampilkan.

Ujar beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberi ruang untuk melakukan penyiasatan terhadap kes berkenaan dengan adil dan bebas berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“ADUN Sekinchan yang juga Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim menerusi Facebooknya menyatakan, RFP bagi projek itu melibatkan sebanyak 98 syarikat.

“Namun, semuanya telah ditolak dan tender telah diberikan kepada sebuah syarikat Landasan Berjaya yang berkait rapat dengan taikun Cina secara rundingan terus.

“Justeru, pada 1 Mac lalu, Parti Bersatu Selangor telah membuat laporan berhubung isu ini dan polis telah menyerahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut, namun tiada apa-apa maklumat setakat ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, ketirisan berlaku dianggarkan berjumlah lebih RM117 juta yang sepatutnya dipulangkan kepada rakyat Selangor melalui premium tanah yang telah dikecualikan dibayar oleh syarikat milik taikun Cina itu.

Beliau turut menempelak DAP cuba mengalihkan kes yang melibatkan sahabat mereka itu, sebaliknya membangkitkan isu Pas dengan dialog antara agama.

“Tindakan itu menunjukkan sikap berat sebelah yang ketara apabila mereka memetik pandangan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari perspektif DAP yang memperjuangkan negara sekular dalam Perlembagaan parti mereka.

“Tindakan memainkan isu keharmonian antara agama ini dibuat bagi menutup mata terhadap isu lebih besar, iaitu skandal Menteri Besar yang melibatkan implikasi kewangan RM117 juta milik rakyat Selangor,” katanya.

Pemuda PAS Selangor menyelar sikap DAP yang dilihat seperti singa dalam isu lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, tetapi menjadi tikus apabila menyentuh isu skandal Amirudin.

“Sikap DAP ini hanya menunjukkan perangai berat sebelah mereka apabila melibatkan isu integriti di sebelah Pakatan Harapan (PH) selaku parti yang memerintah di Selangor.

“Tidak sukar untuk lihat motif sebenar DAP adalah untuk mengalih perhatian orang ramai dari skandal Selangor dan pendakwaan terpilih yang pernah mereka perjuangkan dulu terutamanya dalam isu mendiang Teoh Beng Hock,” ujar beliau. – MalaysiaGazette