Wanita MCA
Wong You Fong

KUALA LUMPUR – Wanita MCA berpandangan, cadangan untuk melaksanakan potongan gaji terhadap anak-anak yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan akan menimbulkan bantahan orang ramai.

Ketuanya, Wong You Fong berkata, walaupun cadangan itu berniat meningkatkan kesedaran anak-anak dan mempromosi nilai-nilai moral, pelaksanaan undang-undang totalitarian boleh memberi kesan negatif.

“Ketaatan terhadap ibu bapa merupakan sesuatu yang bersifat peribadi bagi semua orang.

“Apabila rakyat dipaksa mentaati ibu bapa, keikhlasan tidak lagi wujud dan penjagaan ibu bapa dianggap sebagai satu tanggungjawab dan bukan kerana perasaan sayang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, kementerian menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan undang-undang mewajibkan potongan gaji kepada kalangan yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan, terhadap anak-anak yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan di Dewan Rakyat yang bertanya sama ada kementerian berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan.

You Fong menambah, situasi setiap isi rumah adalah berbeza mengikut taraf hidup, jumlah anak dan kemampuan kewangan.

Menurut beliau, sekiranya faktor-faktor itu tidak diambil kira, lebih banyak masalah akan dicetuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, You Fong berharap kerajaan tidak terburu-buru untuk melaksanakan Akta Warga Emas sebelum kajian mendalam dari pelbagai sudut dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan dan membantu warga emas seperti menyediakan fasiliti yang menggalakkan gaya hidup aktif serta membolehkan mereka bersama masyarakat.

“Wanita MCA menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melakukan kajian menyeluruh sebelum membentangkan akta itu di Dewan Rakyat pada 2024,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan juga perlu menjemput pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan awam dan swasta, pertubuhan kebajikan dan parti-parti politik untuk bersama-sama menjalankan kajian tersebut dan merangka rang undang-undang berkenaan.

“Wanita MCA bersedia menyumbang buah fikiran untuk merangka rang undang-undang ini dengan mengambil kira kebajikan warga emas serta menyuarakan pandangan waris-waris mereka,” katanya. – MalaysiaGazette